Keluarga gadis melecur mohon hentikan tular

0

KUALA TERENGGANU: “Adik saya tidak buta.

Tolong jaga perasaan, hormat dan berikan dia semangat untuk pulih,” luah Che Affendi Che Mat, abang kepada gadis yang melecur muka ketika menggoreng kuih seminggu lalu.

Che Affendi, 29, dari Kampung Bukit Teruna, Kijal berkata beliau juga kesal dengan kenyataan sesetengah pihak yang menularkan di laman sosial pelbagai andaian terhadap keadaan adiknya itu, Che Hasnor Marlia Che Mat, 22.

“Tolong, hentikan tular serta komen negatif,” kata beliau.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi 7 Jan lalu, Che Hasnor Marlia yang bekerja di sebuah kedai makan di Chukai, Kemaman dikatakan sedang menggoreng kuih sebelum tiba-tiba pengsan dan mukanya tersembam ke minyak panas dalam kuali.

“Kami sekeluarga kesal bila ada sesetengah pihak yang reka cerita di laman sosial mengenai adik saya… ada cakap adik akan buta,” katanya.

Che Affendi berkata, nahas itu berlaku pada tarikh yang sama pemergian ibu mereka Hasni Ibrahim lima tahun lalu.

“Kami sekeluarga kesal bila ada sesetengah pihak yang reka cerita di laman sosial mengenai adik saya… ada cakap adik akan buta sebab mata turut cedera.

“Sebenarnya doktor cakap adik bernasib baik kerana matanya tidak terkena minyak panas… tetapi hanya sebahagian mukanya yang lain melecur, dan saya sendiri pun tak pernah cakap adik saya mungkin buta.

“Saya mohon semua pihak jangan buat andaian yang bukan-bukan mengenai adik saya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Menurut Che Affendi, adiknya yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah kini dilaporkan stabil.

Dia turut menjalani pembedahan kecil semalam.

“Sekarang ni Alhamdulillah, adik makin stabil dan sudah mula boleh bercakap walaupun perlahan sebab luka di bahagian bibirnya belum sembuh sepenuhnya tapi dari hari ke hari dia semakin menunjukkan reaksi positif.

“Hari ini dia menjalani pembedahan kecil di bahagian mukanya dan dia kini masih dirawat,” katanya yang reda dengan kejadian tersebut.

Che Affendi berkata adiknya kini memerlukan semangat dan sokongan untuk terus kuat menghadapi nasib yang menimpanya.

“Pada awalnya ada juga dia menangis-nangis bila saudara datang melawat untuk bertanya khabar… tapi adik ada cakap yang dia kena kuat untuk lalui keadaan ini,” kata beliau.

— Bernama