Keluarga wanita OKU tular jual tisu kembali jalani rutin hidup

0
RASMI: Tengku Datuk Seri Abdul Aziz Sultan Abu Bakar merasmikan Dewan Tengku Abdul Aziz di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Presiden PERKUM Noor Hazira Mohd Noor (dua kiri). — Gambar Bernama

RASMI: Tengku Datuk Seri Abdul Aziz Sultan Abu Bakar merasmikan Dewan Tengku Abdul Aziz di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Presiden PERKUM Noor Hazira Mohd Noor (dua kiri). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Anak wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan penjual tisu yang tular di media sosial, kini sudah kembali belajar selepas sebelum ini tidak ke kelas akibat tertekan.

Presiden Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (PERKUM), Noor Hazira Mohd Noor berkata setelah mengadakan pertemuan selama seminggu dengan wanita berkenaan dan anak-anaknya, Noraslinda Rajoni, 42, juga telah kembali menjalankan rutin harian sebagai penjual tisu.

“Setelah pertemuan secara berterusan, anaknya yang belajar di sebuah kolej di Damansara juga telah mula pergi ke kelas setelah sebelum ini malu untuk berbuat demikian akibat tular berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis perasmian Dewan Tengku Abdul Aziz di pejabat PERKUM di sini, oleh Penaung Diraja PERKUM, Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar, semalam.

Nor Hazira berkata walaupun Noraslinda masih lagi menerima pandangan sinis daripada orang ramai, wanita itu tekad meneruskan aktiviti tersebut kerana ia merupakan mata pencariannya bagi menyara keluarga.

Sebelum ini, video Noraslinda mendepositkan sejumlah wang dalam sebuah bank menjadi tular di media sosial selepas didakwa hanya berpura-pura sebagai OKU penglihatan dan menjual tisu di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Noraslinda kemudian tampil membuat kenyataan menjelaskan keadaan sebenar bahawa beliau memang merupakan OKU penglihatan dan wang yang disimpan adalah milik rakan-rakan OKU yang lain.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim kemudian turut mengeluarkan kenyataan bahawa Noraslinda adalah OKU rabun teruk dan pemegang kad OKU yang sah.

Sementara itu, Nor Hazira berkata PERKUM menyasarkan seramai 240 OKU penglihatan ditauliah dengan Sijil Kemahiran Malaysia setiap tahun sebagai pengamal refl eksologi dan terapi badan apabila pertubuhan berkenaan memulakan kursus tersebut bulan depan.

Katanya, program dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran itu menumpukan kepada anggota PERKUM yang telah mempunyai kemahiran tetapi belum mendapat pengiktirafan rasmi.

“Ini bagi memberi keyakinan kepada pelanggan yang mahu mendapat perkhidmatan refl eksologi dari OKU penglihatan, selain membantu OKU ini meningkatkan ekonomi mereka,” .

Beliau berkata setakat ini anggota PERKUM terdiri daripada OKU penglihatan yang berdaftar dengan JKM yang kini berjumlah kira-kira 28,000 seluruh negara.  — Bernama