Kerajaan lulus ukur 690 hektar tanah untuk penduduk Mukim Lihak-Lihak

0

SEMPORNA: Kerajaan negeri meluluskan pengukuran 690 hektar tanah status milik kerajaan di Mukim Lihak-Lihak di sini untuk diberikan kepada kira-kira 200 keluarga yang telah mengusahakan kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban berkata, pemberian tanah kerajaan secara konsep pantas itu bertujuan memberi peluang kepada penduduk setempat menaik taraf kehidupan sekali gus membasmi kemiskinan di Semporna.

“Ini antara agenda yang dibawa kerajaan dengan pemberian lot untuk membasmi kemiskinan rakyat di daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas program jalinan mesra bersama rakyat mukim Semporna darat di sini, semalam.

Menurutnya, Pegawai Daerah Semporna yang bertanggungjawab mengenai tanah di daerah itu telah menerima surat kelulusan dan beliau akan memanjangkan perkara itu kepada Jabatan Tanah dan Ukur Tawau untuk urusan pengukuran.

“Kita mahu perkara ini dibuat secepat mungkin bagi memastikan tanah ini dimiliki penduduk secara mutlak dan pelancarannya boleh dilakukan pada Februari ini,” katanya.

Menurutnya tanah yang diberikan keraajan itu perlu terus diusahakan dengan tanaman termasuk kelapa sawit serta buah-buahan dan tidak boleh dijual.

Sementara itu, mengulas mengenai isu Sabah sebagai negeri termiskin yang dimainkan pihak pembangkang, beliau berkata tuduhan itu hanya berbaur hasutan untuk mendapatkan simpati.

Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata negeri ini berada di landasan betul dengan pelbagai misi kerajaan untuk memastikan rakyatnya mencapai sasaran sifar kemiskinan.

“Tidak dinafikan kalau ada dalam statistik kajian masih terdapat penduduk miskin, tetapi tahun demi tahun terdapat pengurangan kemiskinan mendadak.

“Ini kerana kalau kita lihat strategi kerajaan dalam membasmi kemiskinan di negeri ini adalah melalui pelbagai program yang dijalankan oleh agensi kerajaan dan badan-badan tertentu termasuk pemberian geran tanah komunal untuk diusahakan,” katanya. — Bernama