Kerajaan negeri cadang bangunan lama Maktab Sabah diwarta sebagai tapak sejarah

0

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mencadangkan Dewan Turnbull, yang merupakan tapak bangunan lama Maktab Sabah, diwartakan sebagai tapak bersejarah di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata pewartaan itu akan memudahkan kementeriannya menjaga dan memulihara khazanah sejarah institusi pendidikan itu untuk dinikmati generasi muda.

Katanya tapak lama Maktab Sabah itu mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam pendidikan termasuk melahirkan ramai tokoh pemimpin Sabah termasuk Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

“Apabila diwartakan sebagai bangunan bersejarah, salah satu syaratnya ialah bangunan itu hendaklah kekal sama dengan bentuk asal,” katanya berucap pada Sambutan Jubli Intan 60 tahun Maktab Sabah (1957-2017) di sini semalam.

Masidi yang juga bekas pelajar Maktab Sabah mewakili Musa melancarkan sambutan itu yang turut dihadiri oleh bekas pelajar Maktab Sabah dari awal 60-an sehingga kini.

Masidi berharap cadangan perwartaan itu mendapat sokongan warga Maktab Sabah termasuk bekas pelajar dalam menjadikan bangunan lama itu sebagai motivasi kepada generasi baharu sekolah terbabit untuk terus mengekalkan kecemerlangan.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan sekolah juga perlu memastikan bangunan lama itu menonjol sebagai tapak bersejarah di Sabah apabila ia diwartakan kelak.

Beliau juga mencadangkan beberapa bilik yang terdapat di dewan itu dijadikan sebagai muzium sekolah dengan memaparkan kejayaan dan pencapaian cemerlang sejak Maktab Sabah mula ditubuhkan.

Sebelum ini, bangunan lama Maktab Sabah itu terbiar selepas sekolah berkenaan berpindah ke tapak baharu, namun, pihak pengurusan sekolah telah membaik pulih bangunan berkenaan bagi kegunaan pelajar tingkatan enam sejak tiga tahun lepas.

Mengenai sambutan ulang tahun Maktab Sabah ke-60, Masidi berharap sambutan Jubli Intan itu akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat untuk seluruh warga sekolah menggenggam lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang.

Pada majlis itu, Masidi turut merasmikan Collegian Square yang disaksikan oleh Pengetua Maktab Sabah Nuinda Alias. — Bernama