Mansuh pembayaran levi terhadap pekerja asing: SBA

0

PAPAR: Persatuan Pembina Sabah (SBA) meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memansuhkan pembayaran levi terhadap pekerja asing yang dikuatkasakan di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC) dan bukan sekadar menunda pelaksanaannya.

Presiden SBA Cheong Kwee Min berkata, pelaksanaan EMC tidak akan membantu dari segi ekonomi sebaliknya hanya akan membebankan rakyat dan pihak berkepentingan dalam industri.

Katanya, sekiranya EMC dilaksanakan, sebagai usahawan pembina (builders) tiada pilihan selain meningkatkan kos dan kos berkenaan akhirnya akan turut ditanggung oleh rakyat.

“Sebagai usahawan, kami tidak akan menyerap kos ini sendiri. Akhirnya, kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada pelaksanaan (EMC) ini baik untuk rakyat atau sebaliknya.

“Jika kerajaan mengenakan kos pembayaran (levi pekerja asing) kepada kami maka, kami juga akan mengenakan kos yang sama kepada pelanggan. Akhirnya, kos akan dipindahkan kepada pengguna,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan untuk menunda pelaksanaan EMC pada Januari 2018.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan amal sempena Tahun Baharu Cina SBA ke Rumah Warga Tua Sri Prichard, Kinarut di sini kelmarin.

Pada 11 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk menunda pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan yang dikuatkasakan di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC) kepada Januari 2018.

Atas sebab itu Cheong berkata, sebelum rakyat terbeban adalah lebih baik sekiranya pelaksanaan EMC itu dimansuhkan terus dan bukan ditunda.

Katanya, biarpun kerajaan memberi tempoh setahun sebelum pembayaran levi pekerja asing dikuatkuasakan namun, ia masih tetap akan dilaksanakan.

“Sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan, mereka perlu berbincang dengan pihak berkepentingan (stakeholders). Dalam membuat polisi sebegini, perbincangan perlu dilakukan kerana apabila polisi berkenaan ingin dilaksanakan dan kemudian menerima aduan daripada pihak berkepentingan, ia terpaksa ditunda.

“Oleh itu, saya berpendapat sebelum membuat sebarang keputusan, berbincanglah dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu, lihat apa pandangan kami. Pelaksanaan sesuatu polisi perlu diterima semua pihak,” katanya.

Cheong berkata, tempoh setahun untuk menunda pelaksanaan EMC itu tidak lama. Selepas setahun, apabila pembina membuka tender, kos yang dikenakan akan meningkat dan ianya akan turut memberi kesan kepada pengguna.

Apabila pembayaran levi terhadap pekerja asing ini dilaksanakan, pekerja asing tidak akan rugi apa-apa sekiranya mereka melarikan diri. Majikan yang perlu menanggung beban dan kos yang sudah dibayar.

Dalam menangani isu ini, Cheong berharap kerajaan akan turut melihat kepada usaha menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja tiada permit sah. Jika pekerja ini ditangkap, hartanah akan disita dan majikan akan turut dikenakan tindakan.

Oleh itu, diharap kerajaan dapat menyelesaikan isu PATI ini dan dapatkan cara bagaimana untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor pembinaan agar pihak berkepentingan dalam industri tidak terbeban.

“Kami harap kerajaan juga akan melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada kami dalam industri dan bukan sekadar memberi tekanan.

Dengan itu, baharulah kami dapat bekerjasama dengan kerajaan secara baik,” jelasnya.

Pengumuman mensyaratkan pembayaran levi pekerja asing di bawah EMC itu dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 31 Disember lepas.

Dalam lawatan ke Rumah Warga Tua itu, SBA menyampaikan sumbangan angpau, limau mandarin serta KFC untuk penghuni di rumah kebajikan berkenaan.

Sebelum itu, SBA turut berkunjung ke Bukit Harapan dan Sabah Chesire Home. Di  kedua-dua rumah kebajikan berkenaan, SBA menyampaikan sumbangan RM1,000, angpau, limau mandarin serta KFC.