Perpaduan, keharmonian harus dipertahankan oleh semua rakyat

0

SANDAKAN: Perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini harus dipertahankan oleh semua rakyat, kata Ahli Parlimen Libaran Datuk Juslie zjirol.

Menurut beliau, ini kerana faktor tersebut menjadi penyumbang utama kepada keamanan dan pembangunan negara sejak mencapai kemerdekaan hingga ke hari ini.

“Perpaduan merupakan ramuan yang penting mewujudkan keharmonian kalangan rakyat negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan berbeza agama.

“Walaupun negara kita agama Islam adalah agama rasmi tetapi amalan menghormati agama lain menjadi komitmen utama kerajaan kerana dengan cara ini dapat mewujudkan kerjsama dalam memajukan diri dan negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina anjuranPejabat Parlimen Libaran di sini, semalam.

Seramai 500 orang masyarakat Tiong Hua dari kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga menerima sumbangan hamper pada majlis tersebut.

Menurut Juslie, sebab itu kerajaan mengutamakan sambutan perayaan setiap kaum di negara ini termasuk menerusi cuti umum setiap perayaan dan melaksanakan penganjuran Rumah Terbuka peringkat kebangsaan bagi setiap perayaan.

Katanya ini bagi membolehkan rakyat dapat menyambut setiap perayaan bersama-sama dan seterusnya mengukuhkan perpaduan yang telah lama terjalin. — Bernama