Tinjauan mesra pendekatan terbaik

0
TINJAU: Ongkili bermesra dengan peniaga gerai di Jalan Gaya semalam, menjelang perayaan Tahun Baharu Cina bagi meninjau sebarang permasalahan yang dihadapi peniaga-peniaga kecil di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

TINJAU: Ongkili bermesra dengan peniaga gerai di Jalan Gaya semalam, menjelang perayaan Tahun Baharu Cina bagi meninjau sebarang permasalahan yang dihadapi peniaga-peniaga kecil di Kota Kinabalu, semalam. — Gambar Bernama

Interaksi mesra dapatkan maklumat untuk tambah baik perkhidmatan

KOTA KINABALU: Tinjauan mesra pemimpin terhadap peniaga dan pengunjung pasar, khususnya menjelang musim perayaan, satu daripada pendekatan terbaik untuk kerajaan mendapatkan maklumat bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata berinteraksi secara mesra dengan peniaga dan pembeli membuatkan rakyat selesa untuk menyampaikan sebarang aduan atau cadangan mahupun kepuasan hati mengenai sesuatu perkhidmatan kerajaan.

“Tujuan kita adakan tinjauan untuk menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina dan pada masa sama, untuk memperbaharui persahabatan.

“Di samping itu, kita mengambil kesempatan ini untuk mendengar apa jua keluhan mahupun maklum balas daripada rakyat yang akan dimajukan kepada pihak atasan atau agensi berkaitan untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pasar minggu Jalan Gaya di sini semalam.

Terdahulu, Ongkili melawat Pasar Lido dekat sini, yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Cina di mana beliau menerima permohonan peniaga untukmemperbaiki kawasan di pasar berkenaan.

Beliau yang juga pemangku presiden Parti Bersatu Sabah turut menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina presiden parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, kepada masyarakat Cina di pasar-pasar berkenaan yang bakal menyambut perayaan  itu pada 28 Jan ini. — Bernama