30 orang pemain tersenarai dalam pasukan wanita LBR Wilayah Utara

0

MIRI: Sejumlah 30 pemain tersenarai dalam pasukan wanita Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Wilayah Utara selepas lulus sesi pemilihan pemain yang diadakan di Padang Pusat Belia Miri.

Ketua Jurulatih Wanita yang juga bekas pemain bola sepak wanita Sukan SEA 2007, Elizabeth Oyau berkata semua pemain dipilih akan menjalani latihan intensif sebelum Tahun Baharu Cina.

“Kita mewakili Wilayah Utara (merangkumi Mukah ke Limbang) dan semua pemain dipilih berdasarkan kecergasan, kemahiran, komitmen dan semangat kerjasama dalam satu pasukan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pasukan itu akan berentap bersama tiga lagi pasukan lain iaitu Tenom (Sabah), Sekolah Sukan Sabah dan pasukan LBR Selatan Sarawak.

Hadir sama menyaksikan sesi pemilihan ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Duke Janteng, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Limbang, Aziz Kon dan Presiden Persatuan Bola Sepak Miri, Mohd Saif Jubaidi.

Kejohanan itu akan menyingkap tirainya pada 3 Februari depan yang akan berlangsung di Bintulu menggunakan sistem timbal balik sementara dua pasukan teratas akan mewakili Borneo ke peringkat kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Kejurulatihan FAS dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Miri akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Awalan Bola Sepak (PRA-C) AFC/FAM/FAS Siri 1/2007.

Presiden Persatuan Bola Sepak Miri, Mohd Saif Jubaidi berkata kursus itu akan berlangsung pada 28 hingga 31 Januari ini dengan yuran penyertaan sebanyak RM250.

Peserta akan dibekalkan dengan nota, fail kursus, dua helai baju kursus dan sijil penyertaan sepanjang berlangsungnya kursus itu.

Ia akan dikelolakan oleh Pengarah Jurulatih FAS, Abdul Wahed Uji.

Mereka yang berminat boleh hubungi Mohd Saif di talian 013-8017187 atau Mohd Hakimi (013- 8125141).