Kenyalang FC menempa rekod cemerlang

0

SIBU: Pasukan Kenyalang FC yang baharu ditubuhkan selama enam bulan di sini telah menempa rekod cemerlang.

Ini diakui oleh pengurusnya, Mohaimin Utik @ Tuai Rumah Michael Utik mendedahkan pasukannya menang sebanyak 31 kali, enam kali kalah dan sekali seri pada perlawanan persahabatan sepanjang tempoh enam bulan.

“Semua perlawanan persahabatan itu diadakan dengan pasukan-pasukan sedia ada di sini dan sebagai persediaan menghadapi Liga Juara-juara Sarawak diadakan pada 18 hingga 25 Mac ini di sini.

“Bagaimanapun, kami sekarang berusaha mencari pemain-pemain untuk menguatkan pasukan,” katanya ketika ditemui di Padang Penjara Sibu, petang kelmarin.

Kenyalang FC turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan Mahkota Wira FC dan mereka menang dengan berpesta gol 5-1.

Terdahulu, sebelum perlawanan Mohaimin turut mengadakan sesi pemilihan pemain menguji nasib untuk menyertai pasukannya.

Menurutnya, seramai 30 pemain hadir pada sesi pemilihan yang diadakannya petang kelmarin.

“Bagaimanapun, kita masih mencari pemain-pemain. Kita akan mengadakan sesi pemilihan pada setiap Ahad, jam 4 petang di Padang Penjara Sibu, Jalan Awang Ramli Amit.

Mohaimin berkata, beliau sanggup berbelanja besar semata- mata mahu menaikkan martabat bola sepak Sibu yang semakin merundum dari tahun ke tahun.

Menyentuh mengenai sesi pemilihan pasukannya, beliau berkata, ia terbuka tanpa mengira bangsa dan agama.

“Begitu juga kita turut membuka pintu kepada pemain asing yang berminat bermain dengan kita asalkan ada pasport sah.

“Sekarang kita memerlukan tujuh ke lapan pemain lagi dan sekarang kita sudah mempunyai 15 orang pemain. Had umur ditetapkan untuk pemilihan adalah 17 hingga 30 tahun,” katanya sambil memberitahu pasukannya mempunyai jurulatih bertauliah dan berpengalaman.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai sesi pemilihan itu boleh menghubungi Mohaimin di talian 013-6819080 atau 017- 8517955.