Polis Sabah gagalkan perjudian haram baharu beroperasi di Penampang

0

KOTA KINABALU: Polis Sabah menggagalkan aktiviti perjudian haram yang baharu memulakan operasi di Penampang dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata sepasukan polis daripada JSJ Negeri bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Penampang menyerbu premis perjudian itu setelah memulakan aktiviti haram itu petang semalam.

“Kejayaan ini susulan intipan polis ke atas kerja pengubahsuaian yang mencurigakan terhadap tiga unit rumah kedai di Jalan Bundusan, Penampang sejak lebih sebulan lalu dan polis terus memantau premis itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang dekat sini semalam.

Dalam serbuan itu, Salehhudin berkata seramai 33 orang termasuk sembilan wanita berumur 20 hingga 67 tahun terdiri daripada 15 penjaga atau pekerja di premis itu dan 18 lagi termasuk lima wanita Indonesia merupakan pemain judi, ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM128,338; 17,194 keping cip perjudian pelbagai warna dan nilai, satu set meja dan peralatan perjudian ‘roulette’; lima set meja dan peralatan perjudian ‘baccarat’; serta 1,093 keping daun terup.

Turut dirampas ialah empat set komputer, 15 telefon bimbit pelbagai jenama dan 22 kerusi, katanya.

Beliau berkata penjaga dan pekerja yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Pemain yang ditahan pula disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan denda RM5,000 atau hukuman penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, katanya.

Beliau berkata polis turut menahan lima lelaki berumur 20 hingga 67 tahun kerana berjudi di sebelah premis perjudian itu dan merampas sebuah meja ‘mahjong’, 46 keping cip bernilai RM3,000, 84 mahjong, dua biji dadu dan lima kerusi.

Dalam perkembangan lain, Salehhudin berkata sepasukan polis dari BSJ Tuaran telah menahan dua lelaki kerana memiliki senjata api tiruan.

Menurutnya, suspek pertama berumur 27 tahun ditahan dalam sebuah kereta jenama Audi berwarna hitam ketika polis membuat rondaan di pekan Tuaran kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Antara barang dirampas dari kereta suspek ialah dua pucuk pistol tiruan, tiga kelopak peluru dan satu bungkusan mengandungi ‘ball bearing’, katanya.

“Siasatan lanjut di rumah suspek di Kampung Pendamai, Tuaran turut menjumpai sepucuk pistol tiruan bersama enam butir peluru,” katanya.

Salehhudin berkata suspek kedua pula berumur 24 tahun ditahan di sebuah rumah di Tamparuli dan polis merampas selaras rifel sniper tiruan bersama teropong dan ‘silencer’.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. — Bernama