Aksi kelayakan Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters lancar

0
TANGKAS: Aksi dipamerkan pemain-pemain menyertai peringkat kelayakan kejohanan tersebut di Stadium Tertutup Badminton Sibu semalam.

TANGKAS: Aksi dipamerkan pemain-pemain menyertai peringkat kelayakan kejohanan tersebut di Stadium Tertutup Badminton Sibu semalam.

SIBU: Aksi kelayakan Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters 2017 yang menawarkan hadiah berjumlah USD$120,000 berjalan lancar tanpa kelibat pemainpemain dari negara tembok besar, China dan Denmark.

Kedua-dua negara yang merupakan antara kuasa besar dalam sukan badminton dunia sejak awal lagi mengesahkan tidak mengambil bahagian pada kejohanan ini.

Harapan peminat sukan badminton di sini menyaksikan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei juga tidak kesampaian apabila turut tidak mengambil bahagian.

Turut tidak beraksi ialah pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 dalam acara beregu lelaki, Tan Wee Kiong berpasangan dengan Goh V Shem.

Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik tahun lalu juga tidak beraksi selepas menarik diri saat akhir.

Kekecewaan itu bagaimanapun sedikit terubat dengan penyertaan dua beregu utama dari negara matahari terbit, Jepun iaitu Tokuto Inoue berpasangan dengan Yuki Kaneko serta Hiroyuki Endo dan Yuta Watanabe.

Nama-nama besar lain dalam sukan badminton dunia menyertai kejohanan itu ialah pemain perseorangan lelaki nombor 12 dunia dari Korea Selatan Lee Yun II, Angus Ng (Hong Kong) dan Saensomboonsuk Tanongsak (Thailand).

Pertandingan peringkat awal bermula hari ini (18 Januari) dan dijadualkan berakhir esok.

Kejohanan itu merupakan sirkit Grand Prix Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dianjurkan bersama oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Badminton Sarawak (SBA).

Ia juga dianjurkan sempena dengan Tahun Melawat Sibu 2017 (TMS 2017).

Satu lagi kejohanan dilangsungkan di Sarawak ialah kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Perpaduan Kompleks Sukan Sarawak di Kuching pada April depan.