Dadah terus dibanteras

0

Oleh Mastura Ismail//

RAMPAS: Tega (tengah) menunjukkan peket syabu yang dirampas pada sidang media, semalam. Turut kelihatan Ahamad Ruzaini (kiri) dan Ganesh (kanan).

RAMPAS: Tega (tengah) menunjukkan peket syabu yang dirampas pada sidang media, semalam. Turut kelihatan Ahamad Ruzaini (kiri) dan Ganesh (kanan).

LIMBANG: Polis Limbang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar awal tahun ini apabila merampas syabu seberat 53.01 gram dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Seberang Kedai di sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang DSP Tega Bilong berkata, dalam serbuan pada jam 4.30 petang itu, sepasang suami isteri yang juga peniaga berusia 41 dan 44 tahun turut diberkas.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan polis menjumpai sebanyak 77 keratan tiub straw cerah pelbagai saiz berisi ketulan dadah disyaki syabu dengan berat di dalamnya sebanyak 10.22 gram yang disembunyikan dalam poket seluar panjang yang dipakai suspek lelaki.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan kita turut menjumpai sebanyak 13 peket plastik lut sinar bersaiz besar yang di dalamnya masing-masing mengandungi dadah disyaki syabu seberat 3.2 gram disorok dalam beg sandang yang digantung di belakang pintu bilik suspek perempuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang semalam.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Limbang ASP Ahmad Ruzaini Ahmad Dahalan dan Pegawai Penyiasat BSJN Daerah Limbang Inspektor Ganesh Raoo Subaramaniam.

Jelas Tega lagi, rampasan syabu berkenaan adalah bernilai RM6,000 dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah, selain mereka disahkan negatif dadah.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah seutas gelang tangan emas, wang tunai RM9,590, Dollar Brunei $369, dan Dollar Singapura $26.

Beliau tidak menolak kemungkinan selain Limbang, kebanyakan pembeli juga terdiri daripada penduduk negara jiran berdasarkan rampasan wang tunai berkenaan.

Katanya, suspek lelaki akan ditahan reman selama seminggu, manakala suspek perempuan selama tiga hari bermula hari ini.

Tega berkata lagi, hasil siasatan awal dadah itu dipercayai didapati di daerah ini dan pihaknya masih menyiasat dari mana bekalan itu dibawa masuk ke Limbang.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen  39A (2) ADB 1952, dan Seksyen 4 ADB (PH) 1988.

Sementara itu, beliau memberitahu mengikut rekod BSJN Limbang, sepanjang tahun lepas pihaknya menahan seramai 18 orang (kategori bekalan) melibatkan sembilan kes.

“Seramai 21 orang ditahan melibatkan kesalahan memiliki dadah dengan 21 kes, dan 160 orang ditahan atas kesalahan positif dadah,” ujarnya.

Katanya, dadah jenis syabu (Methamphethamine) merupakan rampasan paling banyak dengan 296.76 gram diikuti ganja (12 gram), ketamin 14.37 gram dan dadah jenis lain.

Beliau juga mahu orang ramai dan masyarakat setempat agar tampil menyalurkan maklumat mengenai kegiatan dadah di kawasan mereka kepada pihak polis.