Beri komitmen penuh kepada skuad

0

Shamie seru rakan sepasukan bentuk keserasian menjelang permulaan Liga Super hujung minggu ini

// Oleh Harry Ilias //

TEKAD TINGGI: Shamie (dua kanan) memanaskan badan bersama rakan sepasukan sebelum menjalani latihan.

TEKAD TINGGI: Shamie (dua kanan) memanaskan badan bersama rakan sepasukan sebelum menjalani latihan.

KUCHING: Penyerang muda Sarawak, Nur Shamie Iszuan Amin menyeru rakan sepasukan memberikan komitmen 100 peratus kepada skuad dalam kempen Liga Super 2017 yang akan bermula Sabtu ini.

Beliau yang juga penyerang kebangsaan turut menegaskan kepada pemain baharu khususnya dari Piala Presiden pantas membentuk keserasian sesama rakan sepasukan lain untuk memastikan skuad itu dapat memberikan persembahan mantap pada setiap perlawanan.

“Saya menyeru rakan sepasukan menunjukkan komitmen untuk membantu Sarawak meraih kejayaan pada musim ini.

“Sememangnya kita sentiasa berhasrat untuk memberikan keputusan yang positif kepada pengurusan dan penyokong pada setiap perlawanan,” katanya semalam.

Shamie turut menyuarakan rasa puas hati dengan latihan di bawah pimpinan Ketua Jurulatih, David Usop.

Malah, pemain lain juga selesa dan gembira mengikuti corak latihan jurulatih berpengalaman itu.

“Latihan setakat ini berjalan dengan baik dan rata-rata pemain tidak berdepan masalah mengikuti taktik jurulatih (David Usop).

“Pemain juga selesa dengan jurulatih David kerana beliau menganggap kami sebagai kawan apabila berada di luar padang tetapi serius semasa latihan,” katanya lagi.

Mengenai sasaran gol pada tahun ini, Shamie tidak menaruh harapan tinggi namun berharap dapat menambah jumlah jaringan.

“Untuk tahun ini, saya menyasar untuk menambah koleksi gol berbanding musim lepas, kalau boleh dapat menyumbang gol pada setiap perlawanan,” ujar pemain yang menjaringkan dua gol pada saingan Liga Super tahun lepas.

Menyentuh mengenai tugas bersama negara, Shamie berkata beliau akan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dari 29-31 Januari di Kuala Lumpur sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan di Vietnam dari 5 hingga 8 Februari depan.

Shamie, 22, antara pemain dipanggil mewakili negara pada Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.