Menyembah bumi

0

Rumah tiga sekeluarga runtuh dalam kejadian awal pagi di Kampung Pemindahan, Marudi.

// Oleh W. Bolly Ongie //

RUNTUH: Keadaan rumah yang diduduki oleh Dayang Janis dan anak-anaknya yang runtuh awal pagi semalam.

RUNTUH: Keadaan rumah yang diduduki oleh Dayang Janis dan anak-anaknya yang runtuh awal pagi semalam.

MARUDI: Sebuah rumah kayu di Lot 243, Kampung Pemindahan di sini yang didiami tiga sekeluarga runtuh sekitar jam 1.15 pagi semalam.

Pemilik rumah, Dayang Janis Awang Rahman, 70, yang ditemui Utusan Borneo di tempat kejadian semalam memberitahu, kejadian berlaku begitu pantas dan ketika itu hanya anak lelakinya iaitu Azman Ali, 42, berada di rumah.

Azman memberitahu, beliau terdengar bunyi seperti kayu patah dan serentak itu berasakan rumah seolah-olah ‘bergerak.’

Mangsa kemudian terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri sebelum rumah tersebut ranap.

Azman hanya mengalami kecederaan di bahagian lengannya akibat terkena kayu perkakas patah selepas dihempap rumah.

Pada masa sama, Dayang Janis memberitahu, ketika kejadian dia berada di rumah sewa anak perempuannya di Pekan Marudi bagi memudahkannya turun berniaga.

“Saya sedang berada di rumah sewa anak perempuan saya di pekan ketika dimaklum oleh anak lelaki saya (Azman) bahawa rumah kami runtuh pada awal pagi tadi (semalam).

“Saya bersama ahli keluarga dan rakan lain, kemudiannya pergi ke rumah kami untuk melihat jika ada harta benda yang masih boleh diselamatkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Dayang Janis, sebuah motosikal bernilai lebih RM7,000, milik anaknya dan diparkir di bawah rumah ketika itu rosak dan tidak dapat diselamatkan lagi, selain barangan elektrik dan harta-benda lain dianggarkan kerugiannya lebih RM40,000.

“Rumah ini adalah peninggalan arwah suami saya, Ali Bakar yang telah meninggal dunia tiga tahun lepas dan ia telah dibina lebih 27 tahun lalu,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 pagi diketuai oleh Pegawai Bomba Hashim Norshidi bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

Siasatan awal bomba mendapati runtuhan rumah tersebut dipercayai berpunca daripada tiang utamanya sudah reput, malah sebelum ini rumah kayu berkeluasan 30×50 kaki persegi itu difahamkan juga sudah mulai condong.

Laporan polis juga telah dibuat oleh ketua kaum dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marudi turut dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Orang ramai ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi sama ada Dayang Janis atau anaknya, Azman di talian 014-8962281 atau 013-8416859.

BANTU: Adik Dayang Janis, Salleh Awang Rahman (kanan) serta dua saudaranya yang lain turut berada di tempat kejadian bagi membantu keluarga berkenaan.

BANTU: Adik Dayang Janis, Salleh Awang Rahman (kanan) serta dua saudaranya yang lain turut berada di tempat kejadian bagi membantu keluarga berkenaan.