KOPERKASA catat keuntungan RM11.3 juta bagi tahun 2016

0

KUCHING: Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad  (KOPERKASA) mencatat keuntungan RM11.3 juta bagi tahun 2016 meningkat berbanding RM10.5 juta bagi tempoh yang sama tahun 2015.

Prestasi memberangsangkan ini turut melonjakkan koperasi ini kepada kedudukan ke-17 terbaik di Malaysia pada tahun ini dan yang pertama di Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato Henry Sum Agong yakin koperasi ini mampu mencapai lebih banyak kemajuan dan keuntungan pada masa akan datang.

Beliau berpuas hati dengan prestasi kewangan koperasi ini berharap pihak koperasi akan berusaha lebih gigih untuk memajukan lagi perniagaan yang dijalankan bagi menjana lebih banyak keuntungan untuk diagihkan kepada ahli-ahlinya.

“Saya mahu semua daerah di negeri ini mempunyai aset Koperasi Koperkasa mempelbagaikan lagi aktiviti dan kegiatan yang boleh membawa keuntungan kepada rakyat terutama ahli-ahli koperasi.

“Jika sekarang koperasi ini berada pada kedudukan ke-17 terbaik di Malaysia, saya mahu kedudukan ini naik ke tangga sepuluh terbaik di Malaysia pada tahun-tahun yang akan datang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan dan taklimat di ke Ibu Pejabat KOPERKASA yang terletak di Jalan Simpang Tiga di sini semalam.

Terdahulu Pengerusi KOPERKASA, Sajali @ Ismail Ojek berkata sejak ditubuhkan pada tahun 1949, KOPERKASA kini mempunyai seramai 24,229 ahli dengan aset sebanyak RM230.4  juta di seluruh Sarawak.

KOPERKASA mempunyai enam cawangan masing-masing di Miri, Sibu, Sri Aman, Bintulu, Sarikei dan Limbang selain ibu pejabat di Kuching.