Pandangan rakyat tidak diketepi: Pairin

0

Kerajaan sentiasa ambil kira pandangan, keperluan rakyat ketika laksana pembangunan

PENAMPANG: Cadangan pembinaan Empangan Kaiduan melibatkan kajian daripada semua aspek tanpa mengetepikan pandangan dan suara rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan serta keperluan rakyat dalam melaksanakan sesuatu pembangunan.

Menurutnya pembinaan empangan berkenaan melibatkan keperluan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Putatan dan Papar untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sehubungan itu, pihaknya mengadakan sesi dialog bersama penduduk di kawasan yang terlibat bagi membincangkan bersama isu-isu yang perlu dibangkitkan.

“Kerajaan mahu berkongsi pengetahuan dan panduan dengan masyarakat supaya mereka tahu apa sebenarnya yang dirancang oleh kerajaan.

“Kami sendiri menjalankan beberapa kajian tertentu memandangkan ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyedia bekalan air bersih kepada masyarakat dan industri.

“Isu ini juga mengambil kira banyak perkara sama ada dari aspek alam sekitar, bilangan penduduk, jumlah perindustrian serta keadaan iklim di kawasan terlibat,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata demikian kepada media selepas mengadakan sesi dialog bersama penduduk yang terlibat dengan Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3, di sini, kelmarin.

Pairin berkata jika isu bekalan air tidak ditangani dengan baik, penduduk di daerah berkenaan bakal menghadapi masalah kekurangan bekalan air yang serius menjelang 2022.

Jangkaan berkenaan jelasnya bukan sahaja akan memberi kesan kepada rakyat tetapi ekonomi di negeri ini.

Selain itu katanya pertambahan populasi penduduk di kawasan pantai barat dijangka mencapai 1.2 juta dalam tempoh lima tahun ini dan bekalan air masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.

“Pemilihan lokasi untuk pembinaan Empangan Kaiduan bukanlah dibuat sekadar saja-saja tanpa penelitian terperinci.

“Kita tidak akan membina empangan di kawasan berkenaan tanpa alasan kukuh serta kajian menyeluruh melibatkan faktor ekonomi dan keperluan rakyat.

“Ini kerana, ia adalah kawasan yang paling sesuai untuk menyediakan bekalan air yang mampu memenuhi keperluan penduduk di kawasan pantai barat,” jelasnya.