Petik buah halaman orang, pemuda dicekup bersama 55 biji mangga

0
KEMPUNAN: Lelaki ditangkap ketika mencuri buah mangga di halaman sebuah rumah di Lorong 5 Krokop kelmarin.

KEMPUNAN: Lelaki ditangkap ketika mencuri buah mangga di halaman sebuah rumah di Lorong 5 Krokop kelmarin.

MIRI: Seorang pemuda kempunan makan buah mangga apabila dia berjaya dicekup tuan punya buah bersama 55 biji mangga yang dipercayai dicurinya.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah bengkel servis kereta di Lorong 5 Krokop di sini pagi kelmarin.

Terdahulu, sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda sedang melakukkan rondaan cegah jenayah di Lorong 5 Krokop telah menerima maklumat dari Bilik Gerakan berhubung tangkapan ke atas seorang lelaki yang disyaki mencuri buah mangga.

Difahamkan suspek berusia 20 tahun dari Pujut Corner di sini telah ditahan pemilik buah (pengadu) ketika sedang memetik buah mangga di halaman rumahnya.

Polis telah pergi ke alamat dinyatakan dan menangkap semula suspek yang diserahkan oleh pengadu.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebanyak 55 biji buah mangga dianggarkan bernilai RM30 daripada milik suspek yang disembunyikan dalam sebuah beg galas.

Suspek bersama buah mangga kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat dalam kenyataan medianya mengesahkan tangkapan ke atas suspek.

Katanya, suspek akan disoal siasat lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.