Polis rampas syabu, nospan di Matu Daro

0

17 individu dicekup, 33.96 gram syabu dan 216 biji nospan dirampas dalam Ops Tapis

// Oleh Kepu Sidi //

TUMPAS: Dominic (tengah), Peter (dua kiri) dan pegawai dari Jabatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei yang lain bersama dengan rampasan yang dipercayai syabu dan pil nospan hasil daripada Ops Tapis yang dijalankan di Mato Daro, kelmarin.

TUMPAS: Dominic (tengah), Peter (dua kiri) dan pegawai dari Jabatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei yang lain bersama dengan rampasan yang dipercayai syabu dan pil nospan hasil daripada Ops Tapis yang dijalankan di Mato Daro, kelmarin.

SARIKEI: Seramai 17 individu dipercayai penjual dan penagih dicekup bersama 33.96 gram ketulan kristal dipercayai syabu manakala 216 biji pil nospan berjaya dirampas dalam satu operasi Ops Tapis dijalan sekitar daerah Matu Daro kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Dominic Josip Nyarui berkata, operasi dilakukan oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei dan kesemua invidivu ditahan adalah warga tempatan.

“Nilai rampasan tersebut dianggar RM5,110 dan pada masa sama, sebanyak 17 orang dipercayai penagih juga penjual dipercayai syabu dan pil nospan ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Daripada 17 orang tersebut, seorang adalah remaja perempuan berusia 18 tahun dan semua adalah warga tempatan. Kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media diadakan di sini semalam.

Jelasnya, hasil saringan awal ujian air kencing, pihak polis mendapati 10 orang telah positif dadah, termasuk remaja perempuan tersebut.

Kata Dominic, kes disiasat di bawah Seksyen 39a Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan ia merupakan tangkapan pertama pada tahun ini.

Katanya, pihak polis akan terus memastikan segala aktiviti yang berkaitan dengan dadah ini akan terus dibanteras habis-habisan.

“Sehubungan dengan itu, kita memohon kerjasama masyarakat untuk turut tampil sama dalam menyalurkan segala bentuk maklumat berkaitan dengan perkara ini,” tegasnya lagi.

Turut hadir sama pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei tersebut ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei, ASP Peter Salang Masan serta beberapa pegawai dari Jabatan Jenayah Narkotik Daerah Sarikei yang lain.