Tuai rumah antara dua anggota ‘Group Kaya’ dicekup

0
TUMPAS: Sim, Inspektor Jagadhesan (tengah) dan Sarjan Johnny Sandi menunjukkan barang kes yang dirampas daripada kedua-dua suspek.

TUMPAS: Sim, Inspektor Jagadhesan (tengah) dan Sarjan Johnny Sandi menunjukkan barang kes yang dirampas daripada kedua-dua suspek.

MIRI: Polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket penipuan dengan penangkapan dua anggota ‘Group Kaya’ termasuk seorang tuai rumah serta merampas wang tunai dan barang kemas bernilai hampir RM40,000.

Tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang berusia 60 dan 41 tahun itu dibuat hasil serbuan sepasukan polis ke sebuah bilik hotel bajet di Taman Sri Dagang, Bintulu Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua suspek seorang lelaki warga emas merupakan tuai rumah di sebuah rumah panjang kawasan Sibu dan seorang wanita dari Kanowit.

Berikutan tangkapan itu kata beliau, kedua-dua suspek merupakan rakan sepenjenayah kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu menurut Khoo, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri diketuai Inspektor Jagadhesan Arumugam telah membuat serbuan ke sebuah bilik hotel bajet di Taman Sri Dagang, Bintulu.

Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, polis telah menangkap pasangan terbabit kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan kebajikan, Toto, bomoh dan penjualan tanah.

“Kedua-dua suspek merupakan anggota Group Kaya dengan suspek pertama dipercayai sebagai ketua kumpulan serta dikenali dengan gelaran ‘Kaya’ dan seorang wanita dengan gelaran ‘Bawang’,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua BSJKD Miri, ASP Sim Hock Chai.

Dalam pada itu menurut Khoo, polis yang membuat pemeriksaan lanjut dalam bilik hotel tersebut telah menjumpai wang tunai RM18,150, barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000, lima unit telefon bimbit yang berfungsi, 10 keping cek pelbagai bank dan 15 keping salinan dokumen tanah dan peta.

Turut dirampas dalam serbuan sama kata Khoo ialah sehelai baju hitam bomoh serta sejumlah tangkap bomoh, dua utas jam berjenama, tiga ikat kertas saiz wang not RM100 tertera 888, sebuah kereta dan sekeping kad pengenalan seorang wanita.

“Cek yang dirampas terdiri daripada cek kosong dan sebahagian lagi telah ditandatangani. Manakala kad pengenalan (dirampas) bukan milik suspek wanita terbabit,” ujar beliau.

Sehubungan itu menurut beliau, kedua-dua suspek akan disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta boleh didenda.