ESSCom rampas lebih 2,000 karton rokok seludup di Lahad Datu

0

LAHAD DATU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merampas 2,195 karton rokok pelbagai jenis bernilai lebih RM53,000 di dalam sebuah van di tepi sungai Kampung Puyut di sini pada Rabu malam.

Komander Essc om DCP Datuk Wan Abd Bari Wan Abdul Khalid berkata anggota Unit Risikan Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu van berkenaan yang dipercayai membawa rokok untuk diseludup, namun pemandu van sempat melarikan diri, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu.

“Pemeriksan lanjut, pasukan itu menjumpai sejumlah rokok yang disembunyikan di dalam beberapa buah kotak tanpa label,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Van itu disita dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Sementara itu, di Sandakan, PPM menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam dua operasi di perairan Nunuyan Laut.

Abdul Bari berkata PATI yang terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita dewasa berumur dalam lingkungan 21 hingga 45 tahun itu, ditahan ketika cuba memasuki perairan negara melalui laluan yang tidak diwartakan.

Kesemua PATI telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut, katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat aktiviti mencurigakan dan melanggar undang-undang negara, disaran melaporkan segera kepada Pusat Operasi ESSCom, di talian 089-863181. — Bernama