Padah buat sendiri

0

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

DITAHAN: Seorang warga emas dan anaknya (tengah) ditahan anggota polis untuk siasatan.

DITAHAN: Seorang warga emas dan anaknya (tengah) ditahan anggota polis untuk siasatan.

BINTULU: Seorang warga emas dan anaknya dari sebuah rumah panjang di Sebauh ditahan polis kelmarin untuk siasatan lanjut berhubung kes membuat senapang patah tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit berkata, tangkapan dibuat di sebuah rumah panjang di Sungai Senggam, Sebauh.

Beliau berkata, Ketua Balai Polis Bintulu ASP Arman Khan Abdullah melaporkan pada 19 Januari, jam 5 petang bahawa seramai enam anggota dari Balai Polis Bintulu dan dua anggota dari Pondok Polis Sebauh pergi ke rumah panjang terbabit kerana dipercayai ada membuat senapang patah tanpa lesen.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah mendapati ada dua lelaki iaitu bapa dan anak masing-masing berumur 72 dan 41 tahun dan kedua-duanya ditahan untuk siasatan.

“Dirampas daripada suspek ialah tiga laras senapang patah buatan sendiri, satu laras barel senapang patah, enam batang paip besi berlainan ukuran, dua but kayu senapang patah dan enam butir peluru hidup senapang patah.

“Turut dirampas ialah peralatan untuk membuat senapang patah iaitu masing-masing satu unit pengisar, gerudi, gergaji besi, pahat serta tiga set playar, tiga tukul pelbagai saiz, lima kikir besi pelbagai saiz dan satu kotak berisi rod kimpalan,” katanya semalam.

Zailanni berkata, dua lelaki tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama jika sabit kesalahan iaitu penjara tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek mendapati senapang patah itu dibuat untuk kegunaan sendiri berburu di hutan dan untuk dijual.

“Suspek juga memberitahu senapang patah itu menggunakan peluru ‘Buckshot’ dan telah membuat senjata itu sejak lebih setahun lalu dengan dibantu anak lelakinya.

“Senapang patah itu dijual kepada pelanggan dengan harga antara RM500 dan RM600 selaras. Setakat ini, sebanyak tiga hingga empat laras senapang patah tersebut telah dijual suspek,” tambahnya.

Jelasnya lagi, suspek membuat senapang patah tersebut melalui pengalamannya sendiri.

“Kita mengambil tindakan ini berikutan ada beberapa kes terkena tembakan semasa berburu dan bimbang penggunaan senjata tidak terkawal.

“Saya berharap mereka yang membeli senjata buatan sendiri tersebut menyerahkan segera kepada polis.

“Sekiranya ingin menggunakan senjata itu perlu mengisi borang permohonan penggunaan senjata dan kami menyokong asalkan tujuannya untuk berburu secara tradisi,” katanya.

Menurutnya, tiga kes direkod pada tahun 2016, masing-masing satu kes kematian, mangsa cedera  dan cedera parah akibat terkena tembakan semasa berburu.