Wujudkan kerjasama, silaturahim antara pasukan polis dengan penduduk pulau

0

KUDAT: Mewujudkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat setempat yang tinggal di pulau-pulau adalah antara objektif lawatan Ketua Polis Daerah Superintenden Douglas Nyeging Taong ke Kampung Malawali dan SK Tanjung Malawali Pulau Bangi, di sini, baru-baru ini.

“Lawatan ini juga untuk mendapatkan maklumat berhubung soal keselamatan dan pendatang asing tanpa izin di kampung ini,” katanya.

Beliau memberitahu semasa lawatan itu, sesi taklimat ringkas mengenai isu keselamatan dan isu-isu semasa turut diadakan bersama-sama penduduk kampung.

Melalui lawatan itu juga, katanya, ia turut memberi keyakinan kepada masyarakat tentang usaha berterusan PDRM Kudat dalam mengekang sebarang ancaman keselamatan selain menyelami permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat dari segi keselamatan.

Douglas berkata, kehadiran pegawai-pegawai kanan polis dari IPD Kudat serta rombongan disambut baik oleh masyarakat setempat.

“Lawatan rumah ke rumah serta beramah mesra dengan masyarakat setempat mampu mewujudkan kerjasama kukuh antara PDRM dan masyarakat,” katanya.

Lawatan itu turut disertai oleh tiga pegawai kanan polis dan 14 anggota lain. Sementara itu, kehadiran penduduk seramai 165 orang diketuai oleh Ketua Kampung Akmanju Anding.

Antara kemudahan yang terdapat di kampung itu ialah sebuah jeti, sebuah balai raya, sebuah surau, sebuah sekolah rendah dengan sepuluh orang guru selain pos pasukan keselamatan.

Kebanyakan penduduk di kampung itu bekerja sebagai nelayan dengan memiliki dua kapal ikan dan 20 bot enjin sangkut.