APM terima dua vesel perkasa logistik dan latihan

0

Penyerahan bot APMM bukti kerjasama erat agensi kerajaan, kejayaan pelaksanaan NBOS: Ahmad Puzi

Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyerahkan dua vesel kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi tujuan membantu dalam operasi bantuan banjir atau sebagai bot latihan.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, ia sesuai dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim agar bot ini masih elok digunakan semula.

“Kita mengambil pandangan Dr Shahidan agar bot ini dilupuskan dengan cara menghadiahkan kepada APM sebagai platform diguna untuk latihan atau operasi bantuan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Vesel APMM kepada APM di Kampung Pulo Melayu Miri semalam.

Ahmad Puzi berkata kedua-dua buah vesel itu dinamakan sebagai APM 1 dan APM 2 ini berukuran 22 meter panjang, 6.8 meter lebar dan mampu mencapai kelajuan sehinga lapan knot dengan muatan lebih kurang 10 orang kru.

“Penyerahan dua vesel ini bersesuaian dengan salah satu fungsi APMM dalam menyediakan pelantar dan sokongan kepada mana-mana agensi bagi membantu penguatkuasaan perairan negara,” jelasnya.

Setakat ini, sejumlah 33 enjin dan bot telah dihadiah kepada agensi kerajaan atau lain organisasi dibenar.

Beliau menambah, pendekatan diambil agensi melupuskan bot lucut hak adalah dengan ditenggelam sebagai tukun tiruan, dimusnah atau dihadiah kepada agensi kerajaan atau institut pengajian tinggi memerlukan.

“Antara bot lucut hak berkenaan terdapat juga bot masih boleh diguna jika dilakukan sedikit pembaikan dan hari ini kita menyerah dua vesel ini kepada APM,” jelasnya.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan sendiri oleh Ahmad Puzi Ab Kahar kepada Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Azmy Yahya (Bersara).

Ahmad Puzi turut memuji kerjasama erat yang ditunjuk anggota APMM Bintulu, APMM Miri dan APM Negeri Sarawak dalam menjayakan majlis penyerahan vesel tersebut.

Kerjasama erat sebegini, katanya, menjadi bukti kukuh kepada kejayaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di antara pihak APMM dan APM.

Dengan penyerahan vesel tersebut, APMM berharap ia dapat membantu APM merealisasi penubuhan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Laut yang telah dilancarkan pada  September 2016 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim,

Beliau juga berharap dengan sumbangan vesel ini, kedua-dua pihak APMM dan APM akan dapat mengoptima lagi kawalan keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang di perairan negara dengan lebih efektif dan jayanya.

Turut hadir ialah Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, Kolonel Pertahanan Awam Mohtar Samat, para pegawai serta anggota APMM Wilayah Sarawak dan APM Negeri Sarawak.