Bimbingan pesara penting agar pelapis beri khidmat terbaik: Len

0

SARIKEI: Sumbangan golongan pesara amat diperlukan khususnya membimbing penjawat awam yang baharu berkhidmat agar memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan yang juga Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, teladan, panduan dan tunjuk ajar daripada pesara amat penting bagi memastikan golongan pelapis tidak lalai akan tanggungjawab yang boleh mempengaruhi dan memberi pelbagai kesan negatif.

“Kita berharap setiap pesara akan terus bergerak aktif dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat.

“Pesara tidak harus beranggapan zaman persaraan adalah penamat bagi segala-galanya bagi mereka.

“Khidmat mereka boleh disumbang dalam pelbagai aspek dan tidak hanya terhad kepada perkara yang mereka telah jalani semasa masih dalam perkhidmatan,” ujarnya.

Len berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Persatuan Pesara Sarikei yang dihadiri kira-kira 100 pesara di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang turut berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada kakitangan kerajaan yang telah bersara dari perkhidmatan.

“Usaha ini membuktikan kerajaan BN amat menghargai sumbangan mereka selama ini dan berusaha untuk memastikan kebajikan pada zaman persaraan akan terus terpelihara dan terjaga.

“Kita berharap mereka akan memanfaat zaman persaraan sebaiknya dengan pengisian aktiviti-aktiviti yang berfaedah,” ujar Len.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Teng Ung Woo, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Abang Mohd Porkan Abang Budiman dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sarikei Ahmad Adai.