DUN Gedong akan terus jadi kubu kuat BN, kata Naroden

0

KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong berikrar akan terus menjadi kubu kuat parti Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Menurut Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, beliau bersama rakyat di konstituensi itu akan terus berdiri teguh dan memberi sokongan padu kepada kerajaan.

“Gedong akan terus setia dan berdiri teguh di belakang dan bersama dengan kerajaan di bawah pimpinan Abang Johari (Ketua Menteri).

“Malah, sebagai ahli dan rakyat kepada ‘TeamAdenan’, kami juga berjanji akan bekerjasama, menyelam dan berenang bersama BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan itu juga melahir harapan agar semangat dibawakan bekasKetua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga akan terus menjadi inspirasi kepada BN.

Mengulas mengenai pengunduran Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai Timbalan Presiden PBB pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB yang berlangsung semalam, jasa dan sumbangannya akan sentiasa dihargai.

“Jasa dan sumbangan dia (Jabu) kepada negeri ini akan sentiasa menjadi kenangan rakyat termasuk penduduk di kawasan Gedong.

“Sebagai mentor dan orang yang banyak berkongsi pengalaman kepada generasi saya, saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepadanya,” jelasnya.

Beliau juga melahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai pemangku Timbalan Presiden PBB.

Katanya, atas pelantikan tersebut, beliau percaya gabungan tenaga antara kedua-duanya akan menguatkan lagi kepimpinan PBB dan Ketua Menteri dalam mentadbir Sarawak.