Hormati sensitivi kaum lain: Hamisa

0

TAWAU: Semua pihak perlu sentiasa menghormati sensitiviti kaum lain demi mengekalkan perpaduan yang dikecapi selama ini, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat.

Menurutnya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab adalah amat penting menjaga keamanan dan keharmonian negara daripada menjadi kucar-kacir ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan provokasi antara kaum.

“Malaysia negara yang unik kerana dihuni masyarakat pelbagai kaum, pegangan agama yang berbeza namun hidup dalam keadaan aman damai.

“Untuk mengekalkan apa yang dinikmati ini bukan mudah, jadi perlu mengelak perkara yang boleh menimbulkan ketegangan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan kepada 30 warga emas dan balu sempena sambutan Tahun Baharu Cina di kediamannya kelmarin.

Katanya, usaha meningkatkan perpaduan perlu dilakukan secara berterusan termasuk bersama-sama meraikan sambutan perayaan kaum lain ke arah memahami dan menghormati adat dan budaya kaum lain.

“Perpaduan perlu dikekalkan dan kita perlu saling bersama-sama dengan memeriahkan apa sahaja sambutan atau karnival yang dianjurkan mengenai satu-satu kaum sebagai tanda sokongan dan simbol kebersamaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Hamisa berkata majlis berkenaan adalah aktiviti tahunan yang dianjurkan sebagai usaha memberi kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan meraihkan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kita mahu agar mereka yang kurang berkemampuan ini dapat meraikan perayaan yang bakal disambut dengan gembira dan juga tanda kita meraikan golongan warga emas khususnya yang banyak berjasa kepada kita,” katanya lagi.