Jabu sentiasa sedia bantu parti, BN

0
TIBA MASANYA: Jabu bersalaman dengan Abang Johari pada sidang media yang turut mengumumkan pengunduran Jabu dari jawatan Timbalan Presiden PBB, semalam. Turut kelihatan Uggah dan Awang Tengah serta ahli MKT PBB lain.

TIBA MASANYA: Jabu bersalaman dengan Abang Johari pada sidang media yang turut mengumumkan pengunduran Jabu dari jawatan Timbalan Presiden PBB, semalam. Turut kelihatan Uggah dan Awang Tengah serta ahli MKT PBB lain.

Pengunduran sebagai Timbalan Presiden PBB untuk beri ruang kepada kepimpinan baharu di bawah Abang Johari yang lantik sebagai Presiden

Oleh Saibi Gi dan Jessica Jawing //

KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sentiasa sedia membantu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Barisan Nasional (BN) dalam apa sahaja kapasiti meskipun beliau semalam mengundur diri dari jawatan Timbalan Presiden PBB yang disandangnya lebih 40 tahun.

Jabu yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata, pengunduran beliau adalah bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu di bawah Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang turut dilantik sebulat suara sebagai Presiden PBB.

“Keputusan ini saya buat pada mesyuarat tadi (semalam) dan saya gembira kerana semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti menyokong cadangan ini, malahan ia adalah satu peralihan jawatan yang lancar kepada pemimpin baharu.

“Saya gembira kerana telah berada dalam PBB serta Timbalan Presiden selama lebih 40 tahun di bawah empat Ketua Menteri. Saya akan terus membantu PBB dan BN dalam apa sahaja kapasiti yang diperlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB yang dipengerusikan Abang Johari serta dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.

Pengunduran Jabu dari jawatan itu diumumkan Abang Johari pada sidang media selepas mesyuarat yang menyatakan bahawa keputusan Jabu itu adalah bagi memberi laluan kepada Uggah yang kini Naib Presiden Kanan memangku jawatan tersebut.

Abang Johari turut mengumumkan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang sebelum ini Naib Presiden Kanan, juga memangku jawatan Timbalan Presiden.

Kuota bagi sayap Bumiputera itu kosong apabila Abang Johari secara automatik atas kapasiti beliau sebagai Ketua Menteri dilantik Presiden berlandaskan Perlembagaan parti.

“Saya dan rakan-rakan dalam parti mengucapkan terima kasih kerana Datuk Patinggi (Jabu) banyak memberi sumbangan kepada parti. Saya percaya Uggah akan meneruskan usaha Jabu dalam parti,” katanya.

Abang Johari menjelaskan, jawatan Timbalan Presiden merupakan jawatan menerusi pemilihan parti, justeru Uggah dan Awang Tengah sementara waktu akan memangku sehingga sesi pemilihan parti dilakukan.

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan pemimpin-pemimpin veteran PBB, Abang Johari berkata parti akan menganjurkan konvensyen khas pada Mei tahun ini.

Sementara itu, Jabu berkata lagi dengan pengalaman dan pengetahuannya dalam parti, ia memberi peluang kepada dirinya untuk terus berkhidmat seperti mana diperlukan kepada parti kecuali dari segi jawatan.

“Saya telah berada lama dalam parti dan Timbalan Presiden parti dan saya yakin kesinambungan perjuangan akan diteruskan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri baharu.

“Saya yakin beliau (Abang Johari) sangat berpengalaman dalam politik dan melakukan dasar serta pelaksanaan yang terbaik terutama kepada kawasan luar bandar seperti mana yang dikehendaki oleh Allahyarham Tok Nan (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem),” katanya.

Jabu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar menyatakan seperti mana beliau bersedia tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri dan tidak terlibat dalam politik, begitu juga jawatannya dalam PBB.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada Uggah serta kempimpinan baharu Ketua Menteri mengukuhkan dan mengetuai pentadbiran negeri.

Jabu berkhidmat dalam politik selama 44 tahun termasuk menjadi Timbalan Ketua Menteri sejak 1976 iaitu berkhidmat di bawah empat Ketua Menteri.

“Saya berasa bertuah bersama PBB iaitu di bawah empat Ketua Menteri iaitu dari Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan dan  Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg,” katanya.