Kemudahan di pusat pemindahan banjir di Sabah akan ditambah baik

KOTA MARUDU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberi jaminan kemudahan asas di semua pusat pemindahan banjir di Sabah akan terus ditambah baik demi keselesaan penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.

Katanya antara kemudahan yang akan diberi perhatian utama termasuk kemudahan tempat memasak, tandas dan tempat mandi.

“Paling penting saya nak pastikan supaya tempat pemindahan itu diurus dengan baik dari segi tempat tidur, makan dan bilik air. Di kebanyakan tempat, kami dapati ada masalah dari segi bilik air dan tempat masak,” katanya.

Shahidan berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir serta mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir di sini kelmarin.

Hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Mengenai tinjauan beliau ke pusat-pusat pemindahan banjir kelmarin, Shahidan berkata semua pusat pemindahan berkenaan diselaraskan dengan baik hasil kerjasama erat semua agensi kerajaan berkaitan serta pemimpin parti-parti politik komponen Barisan Nasional (BN) yang turun padang.

Shahidan berkata kerjasama erat semua pihak berkenaan telah memudahkan agensi di bawah kementeriannya dan agensi daripada kementerian lain melaksanakan tugas dengan baik dan berkesan.

Mengenai kerosakan yang dialami akibat banjir berkenaan, beliau berkata pihaknya masih mengumpul data berkaitan sebelum bantuan disalurkan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Dr Maximus berkata pihaknya akan mengumpulkan data berkenaan keperluan utama di pusat-pusat pemindahan banjir yang telah didaftarkan di Kota Marudu untuk dihantar kepada pihak JPM untuk tindakan lanjut.

Mengenai anggaran nilai awal kerosakan kawasan pertanian seperti sawah padi serta kemudahan asas seperti jambatan dan jalan raya terputus dan perparitan, Dr Maximus berkata anggaran awal nilai kerosakan ialah RM15 juta.

Bagaimanapun katanya data berkenaan akan diperhalusi sebelum dihantar kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Mengenai bantuan wang daripada Majlis Keselamatan Negara, sistem pendaftaran mangsa di sini adalah yang terbaik. Jadi tidak harus ada masalah untuk kami mengemas kini maklumat mangsa seterusnya dikemukakan kepada pihak JPM,” katanya. — Bernama

What do you think of this story?
  • Interesting (50%)
  • Sad (25%)
  • Nothing (25%)
  • Angry (0%)
  • Great (0%)

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of