Ketua masyarakat digalak naik taraf profil kawasan

0

MIRI: Ketua masyarakat digalak menaik taraf profil kampung atau rumah panjang masing-masing bagi memudah usaha pembangunan komuniti di kawasan itu.

Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau berkata, mereka perlu memastikan data kampung tepat bukannya dibuat berdasar anggaran atau penggiraan cara kampung.

“Setiap kampung perlu mengguna cara pentadbiran dan pengurusan moden dalam menguruskan kampung atau rumah panjang. Justeru ketua kampung perlu menggunakan aplikasi baharu sejajar dengan perkembangan semasa.

“Bagaimanapun, apa sahaja keputusan dan langkah diambil, kita perlu merujuk kepada peraturan dan adat mengikut kaum masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Ketua Masyarakat, Ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kaunselor dan Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan di Eastwood Valley Golf & Country Club semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, pengerusi program merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Charles Balan Seling, ketua masyarakat orang Ulu Temenggong Elizabeth Deng. Pengerusi Wanita PBB Telang Usan Margaret Nawan dan Ketua Pemuda PBB Telang Usan Kaunselor Dominic Nyurang.

Kira-kira 300 komuniti dan pemimpin akar umbi dari Telang Usan menyertai seminar tersebut yang diadakan selama sehari bermula jam 8 pagi.

Anyi menambah, pentadbiran dan pengurusan kampung moden perlu menggabungkan dengan prosedur operasi standard dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menilai prestasi dan kejayaan progran pembangunan dan perlaksanaan di kawasan mereka.

“Ketua masyarakat jambatan menghubung rakyat dengan kerajaan selain penghubung utama agensi kerajaan,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan pentadbiran moden dan tepat ini memudah program dan projek pembangunan di kampung atau rumah panjang khususnya di luar bandar seperti Telang Usan dan Baram.

Katanya, tanpa pentadbiran dan pengurusan yang cekap, usaha memaju dan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan itu akan bergerak perlahan apatah dalam keadaan geografi dan topografi Telang Usan atau Baram yang mencabar.

Katanya, rancangan pembangunan sosioekonomi dirancan kerajaan tidak akan berjaya sekiranya ketua kaum dan masyarakat tidak menekankan modal insan.

“Saya akui ketua masyarakat dan pemimpin akar umbi menggalas tanggungjawab yang berat dan mencabar. Justeru jangan terima pelantikan semata-mata mahu dihormati dan bereputasi sekiranya tidak bersedia,” tegas Anyi.

Beliau turut mengingatkan ketua masyarakat agar bersikap terbuka dan tidak membuat keputusan berdasarkan kepentingan peribadi, sebaliknya mengamalkan pendekatan kepimpinan.