KPN ingatkan nelayan jangan cerobohi perairan negara lain

0

PAPAR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan nelayan negara ini supaya mematuhi undang-undang dengan tidak mencerobohi perairan negara lain.

Namun, menurutnya masih terdapat nelayan yang tidak mengendahkannya dan ditimpa kejadian tidak diingini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sebuah kapal nelayan berdaftar di Sandakan yang ditemukan di perairan Filipina pada Khamis lepas dengan tiga kru kapal dilaporkan hilang dan nasib mereka tidak diketahui.

Mengenai sama ada tiga kru kapal warga Indonesia itu diculik, Khalid yang ditemui pemberita pada majlis penyampaian amanat di Ibu Pejabat Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kinarut, dekat sini, berkata pihaknya masih menunggu maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina.

“Apa yang kami dimaklumkan adalah mereka (pasukan keselamatan Filipina) menemui bot yang kosong itu di perairan Taganak. Selain itu, tiada barang-barang dalam bot itu dirampas atau hilang. Tiga mangsa yang dipercayai berada dalam bot itu juga tidak dapat dihubungi sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata polis akan terus meningkatkan kawalan keselamatan bagi menyukarkan pihak musuh mengambil kesempatan melakukan jenayah rentas sempadan khususnya di pantai timur Sabah.

Dalam pada itu, Khalid berkata lima anggota polis yang terlibat dalam pertempuran dan menumpaskan penjenayah rentas sempadan di perairan Semporna pada 8 Dis tahun lalu dinaikkan pangkat secara medan.

“Mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri demi menjaga keselamatan masyarakat dan rakyat di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.51 malam itu, tiga penculik ditembak mati, dua lagi penculik diberkas dan dua lagi hilang dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota PGA. — Bernama