Lebih banyak projek untuk manfaat Batu Kitang

0
RASMI: Lo (empat kanan) memukul gong sebagai simbolik Majlis Pelancaran Projek Pendidikan Kesihatan di Kampung Betung semalam.

RASMI: Lo (empat kanan) memukul gong sebagai simbolik Majlis Pelancaran Projek Pendidikan Kesihatan di Kampung Betung semalam.

Lo yakin kerjasama penduduk dengan semua ketua masyarakat membuahkan hasil dalam lima tahun

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang bakal dibangunkan dengan projek yang akan memanfaatkan rakyat setempat dalam tempoh lima tahun ini.

Demikian janji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang yang berkeyakinan penuh bahawa rakyat di kawasan Batu Kitang akan menikmati perubahan positif kelak.

“Selepas bertugas sebagai seorang ADUN selama tujuh bulan terdapat banyak perkara yang telah kita rancangkan untuk semua kampung dalam kawasan Batu Kitang.

“Dalam tempoh lima tahun ini, saya akan bekerjasama dengan semua ketua masyarakat setempat untuk membawa lebih banyak rancangan dan projek untuk dimanfaatkan penduduk di kawasan ini.

“Saya minta agar penduduk jangan risau dan bekerjasamalah dengan ketua kaum masing-masing.

“Tetapi perlulah anda bersabar kerana tidak semua projek seperti longkang, parit, jalan raya dan sebagainya akan siap dalam satu hari,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pendidikan Kesihatan di Kampung Betung di sini, semalam.

Sebelum ini, JKKK Kampung Betung telah menerima sejumlah cek bernilai RM200,000 daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan tambahan RM300,000 sumbangan daripada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg untuk pembinaan balai raya kampung tersebut pada PRN lepas.

Penambahbaikan gereja dan penyambungan tenaga elektrik dari simpang Batu 10 ke kampung tersebut juga telah dilaksanakan walaupun masih terdapat satu atau dua rumah yang belum menikmati kemudahan itu.

Lo yang juga merupakan Pengerusi MPP berkata, beliau gembira melihat penduduk di kawasan tersebut menjaga kebersihan alam sekitar dan kesihatan badan.

“Ini kerana kanak-kanak yang membesar hari ini memerlukan persekitaran yang bersih agar perkembangan tumbesaran dan kesihatan terjamin.

“Ilmu kesihatan sangat penting kepada penduduk kampung agar mereka menyedari betapa pentingnya aspek kesihatan.

“Melaluinya, ia berupaya untuk menjadikan kanak-kanak seorang pemimpin yang baik dan sihat suatu hari nanti,” katanya.

Majlis tersebut dimulakan dengan senamrobik, ceramah kesihatan, lawatan tapak pameran, saringan kesihatan pap smear, penyampaian hadiah pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Ia dianjurkan oleh Pelatih Jururawat Kesihatan Awam bersama KKIA Kota Padawan, Kampung Betung, Padawan.

Turut hadir Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kota Padawan Dr Zarina Sulaiman, Ketua Kaum Kampung Betung Jong Likang Semboi, Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kota Padawan Juliana John.

Hadir sama Panel Kesihatan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kota Padawan Penghulu Lim Eng Hwa dan Ketua Kampung Landeh P. Johari.