Lelaki kena tahan bawa besi rupanya pandu kereta curi

0
DITEMUI: Besi yang terdapat di dalam kereta yang dipandu suspek.

DITEMUI: Besi yang terdapat di dalam kereta yang dipandu suspek.

KUCHING: Seorang lelaki tempatan yang pada mulanya ditahan polis kerana dilihat mencurigakan membawa besi, rupa-rupanya turut memandu kereta yang pernah dilaporkan hilang.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 7.15 petang kelmarin apabila anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) menahan suspek untuk pemeriksaan di Jalan Telaga Air-Jalan Matang.

Pemeriksaan lanjut polis ke dalam kereta suspek berjaya menemui kira-kira 10 batang besi menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai besi yang dibawa olehnya.

“Suspek serta keretanya kemudian dibawa ke Balai Polis Batu Kawa untuk siasatan lanjut sebelum didapati kereta tersebut pernah dilaporkan hilang di Kota Sentosa pada 28 Disember tahun lepas,” kata sumber.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu suspek kini masih ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut.