Peniaga masih dapat manipulasi akta barang lusuh jika tidak dikawal selia

0

SIBU: Peniaga tidak bertanggungjawab masih boleh memanipulasi sistem Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai sekiranya tidak dikawal selia dengan baik dan dikuatkuasakan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpandangan perniagaan logam lusuh harus dihentikan seketika sehingga terdapat tenaga kerja mengawal selianya.

Beliau menyuarakan pandangan itu ketika ditanya mengenai kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor bahawa polis menguatkuasakan sepenuhnya Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai bermula 1 Februari dan melancarkan operasi seluruh negeri mengesan peniaga barangan terpakai tidak berlesen.

Menurut Mazlan, dengan penguatkuasaan akta itu polis dapat memantau mereka membeli barang-barang curi dan mengurangkan kes kecurian kabel dan logam lebih efektif di negeri ini.

“Saya sangat gembira dan memuji tindakan Pesuruhjaya Polis Sarawak melaksanakan tindakan proaktif menangkap peniaga barangan terpakai tidak berlesen sekali gus terlibat dengan kes curi logam dan kabel.

“Saya yakin kes kecurian ini berkembang kerana terdapat ‘pembeli’ logam lusuh. Jika tidak ada pembeli, tidak ada sesiapa sanggup mencuri barangan seperti ini,” katanya di sini Khamis lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menyifatkan pencuri ini sebagai sampah dan gangguan kepada masyarakat kerana mereka merosakkan kemudahan awam seperti substesen elektrik, meter paip, rumah pembinaan dan lain-lain.

“Kadang-kadang kita perlu menghentikan seketika perniagaan seperti ini sehingga sudah bersedia pelbagai sudut dan mempunyai tenaga kerja mengawal selia dengan betul.

“Walaupun dengan lanjutan Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai 2014, jika tidak dikawal selia baik dan dikuatkuasakan kita percaya sesetengah peniaga tidak bertanggungjawab mungkin masih mencari jalan mengalahkan sistem ini,” ujar beliau.

Mazlan mendedahkan polis menerima 38 laporan kes kecurian kabel pada 2016 merupakan peningkatan 23 kes dilaporkan pada tahun sebelumnya.

Mengenai isu berasingan, Menteri Muda Perumahan itu berkata apa sahaja kaedah boleh menghapuskan rasuah dan mendapatkan pelakunya dikenakan penalti adalah dialu-alukan.

Beliau mengulas cadangan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar memperkenal ujian ‘polygraph’ dalam perkhidmatan awam untuk mengesan penyalahgunaan kalangan pekerja.

“Jika ujian ‘polygraph’ terbukti berkesan dalam mengesan pegawai rasuah atau penjenayah lain adalah masa sesuai untuk agensi-agensi penguatkuasaan menggunakannya.

“Apa yang penting pembasmian rasuah dan mendidik penjawat awam terutamanya mereka memegang jawatan tinggi supaya boleh dipercayai, cekap dan bertanggungjawab.

“Tiada cara lain boleh menyekat rasuah jika kita tidak bersungguh-sungguh mahu ia dihapuskan,” katanya.