Program turun padang untuk dengar denyut nadi rakyat: Azizah

0

BEAUFORT: Amalan turun padang oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim, bertujuan mendengar denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata amalan itu dipraktikkan sejak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas, bertujuan mendampingi rakyat serta mendapatkan perkembangan dan maklum balas untuk tindakan.

Katanya, ia merupakan suatu kebiasaan dan kelaziman untuk turun padang dari semasa ke semasa.

Secara peribadi katanya, beliau sendiri berulang-alik dari Putrajaya ke Beaufort pada setiap hujung minggu untuk bersama-sama masyarakat di kawasan menerusi pelbagai program yang dianjurkan.

“Pada awal tahun ini saya sudah mengadakan beberapa program dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan untuk mengetahui apa lagi yang diperlukan rakyat.

“Saya turut menemui pemimpin-pemimpin akar umbi untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung keperluan rakyat.

“Kita juga melaksanakan program-program turun padang setiap minggu. Sejak hari pertama selepas PRU lalu, kita sentiasa mendampingi rakyat termasuk menyelami denyut nadi mereka,” katanya.

Azizah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Terbuka Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Kung Ming.

Pada majlis itu Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat seterusnya menyampaikan sumbangan kepada 70 warga emas yang hadir sempena sambutan berkenaan.

Azizah diminta mengulas saranan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhububungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman pada Rabu, yang mahukan setiap pemimpin memperhebatkan program turun padang.

Menurut Musa, langkah itu adalah sebagai persediaan menghadapi PRU akan datang.

Secara prinsipnya, UMNO Sabah sudah bersedia pada bila-bila masa.

Tegas Azizah, pemimpin dan wakil rakyat UMNO serta BN telah melaksanakan program turun padang masing-masing sejak dulu lagi.

“Kita harus bekerja kuat untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat yang telah memberikan mandat kepada kita untuk berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Azizah sependapat dengan teguran Musa terhadap pemimpin-pemimpin yang kurang turun padang dan menyifatkannya sebagai satu peringatan yang tepat pada masanya.

“Ia adalah peringatan sesuai yang dilontarkan Musa dalam mesyuarat UMNO baru-baru ini dan apa jua teguran yang dibuat itu bertujuan memperbaiki dan menambah baik sistem perkhidmatan kita kepada rakyat.

“(Peringatan itu) bagaimanapun tidak bermakna PRU semakin dekat, tetapi ia adalah peringatan kepada semua pemimpin untuk melaksanakan tugas serta amanah dengan sebaik mungkin termasuklah meneruskan usaha memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat.