Replika kucing ikon Kuching selatan lambang perpaduan, keharmonian Sarawak

0

KUCHING: Replika kucing yang menjadi ikon bandar raya Kuching selatan di Jalan Padungan mencerminkan perpaduan dan keharmornian pelbagai kaum dan agama bukan sahaja di bandar raya ini, malah seluruh Sarawak.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, patung itu dipasang kostum mengikut perayaan-perayaan yang diraikan oleh masyarakat tempatan, sekali gus menceriakan suasana sambutan perayaan.

“Perkara ini amat bermakna kerana apabila patung kucing dipakaikan pakaian mengikut sesuatu perayaan, ia menggambarkan keharmornian kaum dan agama yang dinikmati oleh semua penduduk di Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan simbolik memakaikan baju tradisional masyarakat Cina pada patung kucing di Jalan Padungan, semalam.

Hadir sama Datuk BandarMajlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan dan Pemilik Hotel Butik Lot 10 yang baharu, KK Wong.

Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada MBKS dan penaja, Hotel Butik Lot 10 atas tajaan kostum tersebut.

Selain perayaan Tahun Baharu Cina, patung kucing itu turut dipakaikan kostum pada sambutan Krismas, Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri, selain acara besar seperti Kuching Marathon dan sering dijadikan latar belakang bergambar oleh para pelancong.

Sementara itu, Wong berkata, langkah itu diambil sebagai menyambut seruan Ketua Menteri baharu, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg untuk mempromosikan pelancongan di Kuching.

“Saya berbangga kerana berpeluang untuk memakaikan patung kucing ini dengan pakaian berwarna merah yang melambangkan tuah untuk Tahun Baharu Cina serta keamanan bukan hanya untuk masyarakat Cina, tetapi untuk semua bangsa di Sarawak secara umum,” katanya.