Bahasa Inggeris kekal bahasa rasmi kedua

0
SUMBANGAN: Hasidah (lima kiri) menyampaikan cek bernilai RM20,000 sumbangan Datuk Seri Fadillah Yusof kepada Wong sambil disaksikan Abang Johari (tujuh kiri), Juma’ani (enam kiri), Mary (lapan kiri) serta yang lain. — Gambar Muhd Rais Sanusi

SUMBANGAN: Hasidah (lima kiri) menyampaikan cek bernilai RM20,000 sumbangan Datuk Seri Fadillah Yusof kepada Wong sambil disaksikan Abang Johari (tujuh kiri), Juma’ani (enam kiri), Mary (lapan kiri) serta yang lain. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Abang Johari berkata beliau akan teruskan polisi dilaksana Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem itu

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi kedua di negeri ini di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Berucap pada Jamuan Malam Amal ‘Save SMK St Teresa’ kelmarin, Abang Johari berkata beliau akan meneruskan polisi yang dilaksanakan oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem itu.

Menurutnya, sistem pendidikan masih terbuka dan kita di Sarawak bersyukur kerana penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negeri ini masih baik.

Sebab itu katanya, Allahyarham Tok Nan bertegas bahawa selain bahasa Malaysia, bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi kedua Sarawak.

Justeru, sebagai Ketua Menteri baharu, beliau juga meneruskan polisi berkenaan.

“Anda tahu, apabila kita menghadiri persidangan antarabangsa bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa universal dan jika anda tidak pandai bertutur dan memahami bahasa Inggeris anda akan rasa terasing dalam persidangan itu.

“Tetapi saya perlu katakan di sini bahawa rakyat kita Sarawak apabila mereka menyertai persidangan di luar negara kita akan terlibat secara aktif serta penuh keyakinan.

“Lebih-lebih lagi dalam pertumbuhan ke arah ekonomi digital masa kini, maka kita perlu meneruskan polisi yang ditinggalkan oleh Tok Nan ini,” katanya.

Majlis amal itu dianjurkan bagi mengutip untuk membina bangunan baharu SMK St Teresa yang terbakar pada kejadian 29 Oktober tahun lepas.

Pada majlis itu, Abang Johari meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM500,000 menjadikan keseluruhan peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM1.5 juta.

“Saya difahamkan bahawa sekolah ini memerlukan RM8.2 juta untuk kerja-kerja pembinaan yang melibatkan dua fasa di mana fasa pertama memerlukan lebih kurang RM3 juta hingga RM4 juta manakala fasa kedua memerlukan RM4 juta.

“Allahyarham Tok Nan telah memberikan RM1 juta sebelum ini dan saya Ketua Menteri baharu memberikan RM500,000 menjadikan jumlah keseluruhan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1.5 juta,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi pihak isterinya Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang yang juga presiden SABATI.

Turut hadir, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak- Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengetua Mary John, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah St Teresa Wong Mee King serta yang lain.