Ditetak dan dibakar

0
TRAGIS: Anggota bomba menenangkan ibu Mohd Joe yang gagal mengawal perasaan apabila mengetahui anaknya dibunuh sebelum ditemui rentung.

TRAGIS: Anggota bomba menenangkan ibu Mohd Joe yang gagal mengawal perasaan apabila mengetahui anaknya dibunuh sebelum ditemui rentung.

RENTUNG: Anggota bomba kelihatan memerhatikan satu mayat yang rentung di lokasi kebakaran.

RENTUNG: Anggota bomba kelihatan memerhatikan satu mayat yang rentung di lokasi kebakaran.

Tiga sekeluarga rentung selepas seorang lelaki serang, bakar sebuah rumah di Matang, Kuching, semalam.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: “Saya cepat-cepat mengunci pintu dan hanya mampu berdoa agar dia tidak menemui dan mengapaapakan kami,” kata Sofia Asan,17, ketika menceritakan detik cemas apabila seorang lelaki mengamuk dan menetak suaminya hingga mati di Kampung Tumu, Batu 10 di Matang, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu katanya, dia sedang menjaga anak perempuannya yang berusia setahun dan adik lelakinya yang berusia tiga tahun di bilik apabila terdengar bunyi bising di luar.

“Waktu itu, suami saya sedang menghiris rebung untuk makan malam apabila dia (suspek) meluru masuk dan terus memukul suami saya menggunakan parang di pinggang dan leher.

“Saya terus mengunci pintu dan bersembunyi di bilik bersama anak dan adik saya sebelum ibu memanggil dan membawa kami lari melalui pintu belakang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, mereka berempat berlari sepantas mungkin ke rumah jiran berhampiran bagi mendapatkan bantuan serta menghubungi pihak berkuasa.

Difahamkan, bapanya, Assan Daud, 36, cedera di kepala akibat ditetak ketika cuba mempertahankan diri serta anak lelakinya yang berusia 12 tahun daripada serangan tersebut namun turut berjaya melepaskan diri.

Assan kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Abdul Rahman Asan, 16, berkata dia yang berada di luar rumah apabila menyedari kejadian kemudian bergegas mendapatkan pertolongan daripada jiran, Ahmad Munir di seberang rumah.

“Kami kembali semula ke rumah untuk bersemuka dengan suspek namun terpaksa melarikan diri apabila suspek mengejar kami sambil membawa parang,” katanya.

Suspek kemudian kembali ke rumah tersebut sebelum dikatakan membakar kusyen di ruang tamu, sehingga menyebabkan rumah berstruktur kayu tersebut musnah dalam kebakaran.

Dia turut melahirkan perasaan kesal kerana gagal menyelamatkan datuknya, Mohd Daud Abdullah yang buta serta neneknya, Nuraini Abdullah yang sakit.

Mereka kemudian ditemui rentung bersama suami Sofia, Mohd Joe Abdullah dalam kebakaran tersebut.

Abdul Rahman menambah, dia pernah melihat suspek merayau-rayau di sekitar kawasan rumah tersebut pada Sabtu namun tidak menyangka lelaki tersebut tergamak bertindak agresif.

“Malah, suspek hanya meninggalkan rumah kami selepas api marak memusnahkan rumah tanpa berkata apa-apa atau sebarang riak di mukanya,” katanya.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai penoreh getah tinggal bersendirian di kawasan hutan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Farhan Sufyan Borhan berkata, rumah berstruktur tidak kekal itu telah terbakar 100 peratus apabila pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya tiba di lokasi sekitar jam 4 petang.

“Kebakaran itu melibatkan tiga orang mangsa rentung. Berdasarkan maklumat daripada saksi, kebakaran itu disebabkan seorang suspek yang mengamuk,” katanya sambil menambah, pasukan bomba menjalankan proses ‘overhaul’ bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman turut ke lokasi semalam untuk memberi bantuan kepada mangsa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar memberitahu bahawa suspek, seorang warga Indonesia berusia 30-an berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi kejadian sekitar jam 7.30 malam tadi.

“Suspek yang masih memegang parang, pada awal enggan menyerah diri tetapi terpaksa akur selepas dipujuk pihak polis,” katanya. Siasatan masih diteruskan.