Kematian bapa diketahui melalui sekeping gambar

Sheh

Sheh

Luahan anak mangsa pembunuhan kejam tentera Jepun

KOTA KINABALU: Walau baharu berusia lapan tahun ketika bapanya dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun 73 tahun lalu tetapi, ingatan terhadap insiden tragik itu tidak mungkin dapat dilupakan.

Biarpun kematian bapanya hanya diketahui melalui sekeping gambar namun, Kapitan Sheh Yen Tein, 82, seolah-olah dapat merasai kesakitan yang dialami bapanya ketika itu.

Kematian bapanya diketahui melalui gambar yang diambil oleh saudara mereka yang ketika itu bekerja dengan tentera Jepun. Dalam gambar itu, bapanya mati ditikam sambil memegang papan tanda nama yang ditulis dalam bahasa Cina.

Kini, setiap kali teringat bapanya mati ditikam menggunakan pisau yang diletakkan di hujung senapang, beliau akan berasa sebak. Kesakitan yang dialami bapanya itu tidak mampu untuk dibayangkan.

Bagaimanapun, gambar berkenaan sudah dibakar oleh tentera Jepun bagi menghapuskan bukti pembunuhan kejam yang berlaku pada 21 Januari 1944 itu.

Sheh berkata, pembunuhan kejam menggunakan pisau pada senapang itu dilakukan kepada tujuh orang tahanan perang termasuk bapanya serta Ketua Gerila Kinabalu Guo Yi Nan atau dikenali sebagai Albert Kwok.

Disebabkan bapanya orang kanan Guo Yi Nan yang memberontak membunuh tentera Jepun maka, mereka dibunuh dengan kejam. Jika tahanan lain ditembak mati secara beramai-ramai dalam sebuah lubang besar tetapi mereka bertujuh ditikam di perut dengan pisau sehingga mati.

Sekiranya masa boleh diputar semula, beliau berharap bapanya tidak mengenali Guo Yi Nan.

“Disebabkan bapa saya ada buka kedai makan di Jesselton ketika itu, Guo selalu datang makan. Pada masa itu, tiada hotel di sini maka, bapa saya mempelawa Guo untuk tinggal di atas restoran dan akhirnya mereka menjadi kawan.

“Jika bapa saya tidak buka restoran, tidak berkawan dengan Guo Yi Nan, mungkin bapa saya tidak akan mati dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun,” katanya apabila mengimbas kembali kekejaman yang dilakukan terhadap bapanya serta tahanan perang di Penjara Batu Tiga yang lain.

Menurutnya, pada awalnya Guo datang ke Sabah untuk menjual ubat-ubatan tradisional tetapi, lama-kelamaan rupanya Guo berkempen untuk menentang tentera Jepun.

Mengimbau kembali memorinya pada zaman penjajahan Jepun itu, Sheh berkata, selepas Gerila Kinabalu membunuh tentera Jepun, bapanya bersama enam rakan lain terpaksa bersembunyi di atas bukit, di tanah perkuburan Luyang bagi menunggu tentera Amerika Syarikat datang membantu.

Namun, bantuan yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba sehinggalah tempat persembunyian mereka didedahkan oleh seorang tali barut Jepun.

“Kira-kira dua minggu selepas bersembunyi, seorang Shantung datang dan memberitahu supaya bapa saya dan rakannya menyerah diri.

“Saya masih ingat lagi ketika itu nenek dan ibu saya datang ke tanah perkuburan itu secara curi-curi bagi menghantar makanan kepada mereka bertujuh,” jelasnya.

Ketika tali barut Jepun itu datang, beliau memberitahu bahawa pasukan Gerila Kinabalu perlu menyerah diri jika tidak, kawasan orang Shantung di Luyang akan dibakar dan orang di sana akan dibunuh.

Dengan ugutan berkenaan, bapanya dan Ketua Gerila Kinabalu turun menyerah diri kepada pasukan tentera Jepun.

“Selepas itu mereka dimasukkan ke penjara Batu Tiga dan dalam tempoh dua bulan kemudian, mereka dihantar pada waktu malam menaiki kereta api ke Petagas.

“Selepas itu, mereka tujuh orang termasuk Guo Yi Nan dan bapa saya, ditikam menggunakan pisau pada hujung senapang. Dicucuk ke dalam perut hingga mati,” katanya sambil menitiskan air mata.

Memori berkenaan masih segar dalam ingatan Sheh yang juga anak kedua daripada lima beradik ini.

Katanya, beliau datang ke upacara berkenaan setiap tahun bersama adik-beradik dan anak-anaknya.

Tahun ini buat pertama kalinya beliau dipilih mewakili keluarga mangsa perang untuk meletakkan karangan bunga sempena Upacara Memperingati Mangsa-mangsa perang di Tugu Peringatan Petagas kali ke-68.

Turut hadir dalam upacara memperingati mangsa perang berkenaan ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang yang mewakili Ketua Menteri; Konsul Kehormat British di Sabah Robert M. New; Penasihat Pertahanan Australia Kapten Wendy Horder; Setiausaha Persekutuan Sabah Shaun Pravind Robert; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai serta barisan tetamu jemputan lain.

What do you think of this story?
  • Sad (57%)
  • Interesting (36%)
  • Great (7%)
  • Angry (0%)
  • Nothing (0%)

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of