Tiga kru kapal hilang, polis tunggu maklumat polis Filipina

0

PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Filipina tentang status tiga orang kru kapal yang hilang di antara perairan Baguan dan Pulau Taganak, Filipina petang Khamis lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya kini masih berhubung dengan rakan sekerja di Filipina bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan status tiga kru berbangsa Bugis Indonesia.

“Kita harap rakan kita di seberang akan memberikan maklumat sahih secepatnya bagi mengenal pasti keadaan sebenar serta lokasi tiga mangsa yang hilang di peraian berkenaan,” katanya pada sidang media semasa Lawatan Kerja di Pusat Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini kelmarin.

Ketika ditanya sama ada kru kapal diculik atau sebaliknya beliau belum mengesahkan sebarang kata putus berikutan pihaknya masih tidak menerima apa-apa maklumat daripada polis Filipina.

“Ketika ditemui bot terbabit tidak menunjukkan ciri-ciri dirampas dan semua peralatan bot termasuk enjin masih terpasang pada bot terbabit.

“Oleh kerana kejadian berlaku di kawasan luar sempadan negara kita, kita masih menunggu pengesahan sebenar kejadian dan perkembangan kejadian lanjut.

“Tambahan pula kita belum menerima apa-apa panggilan daripada mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan atau memaklumkan keadaan krew yang hilang,” katanya.

Kira-kira jam 3.15 petang Khamis lalu Komander ESSCom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid menerima maklumat sebuah kapal nelayan ditemui terapung dalam keadaan enjin masih hidup tanpa sebarang krew.

Kapal nelayan itu berdaftar di Sabah (BN838/4/F) kemudiannya ditunda oleh pasukan keselamatan Filipina ke Taganak Filipina, manakala tiga kru berbangsa Bugis Indonesia dilaporkan hilang tanpa sebarang maklumat.

Mengulas lanjut Khalid berkata, pihaknya sudah memberikan nasihat tegas kepada pihak nelayan setiap masa untuk tidak menyeberangi sempadan perairan negara kita.

“Perkara ini bagaimanapun masih berlaku dan pada masa sama kegiatan nelayan keluar dari sempadan negara akan mengancam nyawa serta keselamatan mereka.

“Pihak Pesuruhjaya Polis Sabah juga akan menjalankan dialog bersama pihak nelayan dan penguasa bot serta terus memberikan nasihat agar tidak melangkau sempadan perairan negara dalam kegiatan menangkap ikan,” katanya.

Tambahnya pihak berkuasa Filipina juga turut akan mengambil tindakan kepada nelayan yang bertindak keluar dari sempadan perairan negara.