Belian panik sebabkan kekurangan minyak masak

0

Pengguna bertindak membeli minyak sebanyak yang boleh

HABIS: Pembelian panik oleh orang ramai dan peniaga menyebabkan bekalan minyak masak di sesetengah kedai runcit dan pasar raya di sekitar Labuan berkurangan. — Gambar Bernama

HABIS: Pembelian panik oleh orang ramai dan peniaga menyebabkan bekalan minyak masak di sesetengah kedai runcit dan pasar raya di sekitar Labuan berkurangan. — Gambar Bernama

LABUAN: Belian panik oleh orang ramai dan peniaga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan minyak masak di sesetengah kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar sekitar pulau bebas cukai di sini.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata, terdapat pengguna yang membeli dua atau tiga botol minyak masak 1.5kg dan 5kg pada satu-satu masa.

“Hakikatnya, kekurangan bekalan minyak masak tidak berlaku di negara ini tetapi wujud belian panik di sini sejak dua minggu lalu.

“Kami diberitahu, setiap penghantaran minyak masak yang tiba di kedai runcit habis dijual dalam masa sejam kerana pengguna membelinya sebanyak yang boleh,” katanya selepas melawat Pasar Raya Besar Bataras di sini.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan menasihatkan pengguna untuk bertenang dan elak belian panik bagi membantu menstabilkan bekalan.

“Kami juga harap para pemborong akan meningkatkan jumlah bekalan minyak masak ke pulau ini memandangkan permintaan yang tinggi berikutan sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus untuk menamatkan isu ini,” katanya.

Selain itu, seorang pengguna, Danial Faiz Abdullah, 38, berkata beliau sangat kecewa apabila tidak menemui jenama minyak masak yang diperlukan setelah mencarinya di beberapa kedai.

Penjual pisang goreng, Mariam Baharuddin, 47, dari Kg Sg Buton, berkata minyak masak pek ekonomi selalu tiada di beberapa pasar raya dan kedai runcit.

“Saya masih mempunyai bekalan yang mungkin bertahan untuk beberapa hari, tetapi apabila habis nanti saya terpaksa hentikan perniagaan saya buat seketika,” katanya.

Seorang peniaga, Alimah Abu Bakar, berkata penjaja, terutamanya yang menjual biskut, kek dan makanan bergoreng menggunakan minyak masak berpeket, yang mana ia memberikan sedikit keuntungan kepada mereka kerana harganya yang lebih murah.

“Kami harap bekalan minyak masak peket di pasar raya dan kedai runcit mencukupi. Perniagaan sekarang sangat berdaya saing dan jika bekalan wajib seperti itu agak terhad, peniaga kecil seperti kami yang paling terjejas,” katanya. — Bernama