Tiga sekolah ditutup

0

SK Kuala Sigu, SK Genaan dan SK Nanga Penyarai dinaiki air sejak dua hari lalu.

PANTAU: Anggota bomba membuat pemantauan keadaan banjir di SK Nanga Penyarai Tatau, semalam.

PANTAU: Anggota bomba membuat pemantauan keadaan banjir di SK Nanga Penyarai Tatau, semalam.

// Oleh Ambrose Rirang //

BINTULU: Tiga sekolah rendah di sini ditutup mulai semalam berikutan dinaiki air sejak dua hari lalu.

Menurut maklumat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mejar Ismail Mahedin, tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sigu, SK Genaan dan SK Nanga Penyarai.

“Sekolah-sekolah ditutup hanya dibuka semula setelah air surut di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan murid yang menuntut ilmu di sekolah terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan APM Bintulu mulai bergerak semalam bagi memantau serta meninjau kawasan rendah berisiko dilanda banjir.

Sekretariatnya Ra’idah Jomi berkata lima kawasan dalam pemantauan ialah jeti bot ekspres Sungai Kemena, Kampung Assyakirin, Kampung Baru, Sungai Sebatang dan kawasan setinggan Sungai Plan.

“Bagaimanapun, keadaan air surut dan terkawal setakat jam 11.30 malam kelmarin namun pemantauan terus dilakukan dari semasa ke semasa sekiranya hujan lebat dan air pasang penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bilik Gerakan Banjir Daerah Sebauh diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana paras air Sungai Kemena dan Sebauh agak tinggi dan berada pada paras bahaya iaitu 10.90 meter.

Keadaan itu adalah berikutan hujan lebat di kawasan Tubau dan Jelalong sejak dua hari lalu.

BERBAHAYA: Paras air banjir semakin naik di SK Nanga Penyarai, Tatau berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.

BERBAHAYA: Paras air banjir semakin naik di SK Nanga Penyarai, Tatau berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.