13 sekolah di empat kawasan masih tutup

0

Keadaan banjir di kawasan terjejas belum menunjukkan perubahan petang semalam

// Oleh Henrietta Liza //

LAWAT: Awang Askandar dan anggota APM melawat ke setiap lokasi kerap banjir di Kuching semalam. Gambar diambil di tebingan Kampung Rantau Panjang.

LAWAT: Awang Askandar dan anggota APM melawat ke setiap lokasi kerap banjir di Kuching semalam. Gambar diambil di tebingan Kampung Rantau Panjang.

KUCHING: Sebanyak 13 sekolah melibatkan empat kawasan di Sarawak masih ditutup berikutan air belum surut sepenuhnya.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, Leftenan Kolonel Awang Iskandar Ampuan Yaacub berkata, keadaan banjir di Sibu, Miri, Bintulu dan Serian masih belum menunjuk perubahan sehingga jam 5 petang semalam.

“Keadaan ini menyebabkan 1,075 orang murid tidak dapat turun ke sekolah seperti sedia kala berikutan air naik sehingga paras lutut sejak tiga hari lalu.

“Bagaimanapun, masih ada lagi lapan buah sekolah yang beroperasi biarpun terjejas akibat air bah masuk ke dalam kelas dan kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, biarpun cuaca agak baik ketika ini namun air masih belum surut sepenuhnya kerana kebanyakan sekolah berhampiran sungai terutama di Kemena, Bintulu.

Awang Askandar berkata juga jika paras air di Sungai Kemena, Bintulu masih menunjuk bacaan tidak menentu dan sentiasa berada di paras bahaya.

“Sehubungan itu, APM sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terutama sekiranya terdapat penduduk terpaksa dipindahkan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau menjelaskan beberapa sungai utama di Kuching juga dipantau terutama di kawasan Kampung Batu Kitang dan Rantau Panjang.

Jelasnya, dua kampung tersebut sedang berhadapan dengan risiko banjir kerana dijangka menerima limpahan air dari hulu sungai.