Jel 60 tahun, 30 sebatan

0

Penjawat awam mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merogol anak tirinya.

PADAH: Tertuduh diiringi keluar dari kamar mahkamah oleh anggota polis selepas hukuman dijatuhkan, semalam.

PADAH: Tertuduh diiringi keluar dari kamar mahkamah oleh anggota polis selepas hukuman dijatuhkan, semalam.

// Oleh Anasathia Jenis //

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 60 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol anak tirinya.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, 54, yang juga penjawat awam, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Seksyen (1) 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Tertuduh dikehendaki menjalani hukuman itu secara berasingan iaitu masing-masing 20 tahun penjara dan 10 tahun sebatan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan.

Tertuduh kelihatan tenang ketika keputusan disampaikan.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata beliau menimbang keseriusan kesalahan serta kepentingan awam.

Beliau berkata, perbuatan keji itu menjejaskan mangsa dan menyebabkannya mengalami trauma.

“Tertuduh juga tidak menunjukkan rasa kesal kerana melakukan kesalahan itu berulang kali,” katanya sambil menyatakan gadis itu juga mengandung.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum mengambil kira keseriusan kesalahan.

Beliau berkata, hukuman itu dijatuhkan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatannya adalah lebih teruk daripada haiwan, memandangkan tertuduh sepatutnya melindungi mangsa dan bukan sebaliknya.

Bagaimanapun, tertuduh hanya merayu agar hukumannya diringankan.

Kesalahan tersebut dilakukan antara Januari dan Disember 2015 serta 4 dan 5 Januari tahun ini di sebuah rumah di Batu Lintang.

Tertuduh turut menghadapi empat tuduhan rogol sumbang mahram di dua Mahkamah Sesyen lain di sini.

Dia mengaku bersalah atas semua tuduhan melakukan kesalahan tersebut ke atas mangsa yang sama, tetapi hukuman akan diputuskan pada Jumaat ini dan bulan depan.