PPM, Polis Maritim Filipina bincang usaha atasi jenayah rentas sempadan

KONGSI MAKLUMAT: Ramli (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Gonzales (dua kanan) diperhatikan Rzarudin (kiri) dan Rahim (kanan) semasa majlis perasmian 1st Bilateral PPM Wilayah 4, kelmarin.

KONGSI MAKLUMAT: Ramli (dua kanan) menyampaikan cenderahati kepada Gonzales (dua kanan) diperhatikan Rzarudin (kiri) dan Rahim (kanan) semasa majlis perasmian 1st Bilateral PPM Wilayah 4, kelmarin.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Maritim Filipina akan membincangkan usaha menangani kegiatan jenayah rentas sempadan terutama membabitkan pergerakan keluar masuk kumpulan pengganas Daesh melalui mesyuarat dua hala bermula kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata pertemuan yang akan diadakan selama tiga hari itu juga akan ditumpukan kepada beberapa aspek kerjasama dan operasi termasuk rondaan serta penyelarasan bersama di sepanjang sempadan perairan kedua-dua negara.

Katanya mesyuarat dua hala itu juga diadakan susulan daripada lawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Filipina pada Disember tahun lalu.

“Antara isu yang akan diambil kira sepanjang mesyuarat selama tiga hari ini ialah untuk merancang, melaksana dan menyelaraskan operasi rondaan bersama selain mewujudkan persefahaman di antara kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.

“Kita juga akan saling berkongsi maklumat risikan dan unit pasukan antara kedua-dua belah pihak dalam usaha mengatasi isu jenayah rentas sempadan, pencerobohan serta penculikan,” katanya pada Majlis Perasmian 1st Bilateral PPM Wilayah 4, di sini, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Operasi Polis Maritim Filipina Edmund Gonzales, Komander PPM Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain.

Ramli berkata penubuhan kumpulan kerja penguatkuasaan bersama, masa tindak balas segera juga akan dibincangkan bagi membantu bot dan kapal semasa kecemasan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh rondaan yang akan diadakan secara serentak masih belum ditentukan dan perkara itu akan ditentukan sepanjang mesyuarat dilaksanakan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil balik dan menunda kapal nelayan dalam insiden 19 Januari lalu balik ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, kita sudah berhubung dengan pasukan polis Filipina. Bagaimanapun, kita terpaksa menunda tindakan membawa balik kapal itu berikutan dihalang oleh keadaan laut yang bergelora pada masa itu,” katanya.

What do you think of this story?
  • Angry (50%)
  • Nothing (50%)
  • Interesting (0%)
  • Sad (0%)
  • Great (0%)
Print Friendly

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of