Tiada cubaan culik, jual bayi

0
DEV

DEV

KUCHING: Tiada kes cubaan menculik dan menjual bayi seperti didakwa seorang pemilik akaun Facebook (FB) ‘Gillan Lee’, sebaliknya hanya kes ragut melibatkan seorang mangsa warga emas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti pemilik akaun FB berkenaan dan menahannya untuk soal siasat.

Dev memberitahu, hasil siasatan mendapati pemilik akaun FB terbabit mengaku tidak berada di tempat kejadian seperti didakwa dan hanya mendengar khabar angin itu daripada adiknya.

“Dia mengaku tidak berada di tempat kejadian, namun ada mendengar kekecohan di luar rumah mereka di Ramin Garden Jalan Arang seterusnya bertanyakan kepada adik perempuannya.

“Difahamkan, adiknya kemudian memberitahu kemungkinan kes cubaan menculik anak jiran mereka dan tanpa usul periksa dia kemudian terus memuat naik status di FB mengatakan berlaku cubaan menculik bayi.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati pada hari tersebut (21 Januari), berlaku kes ragut melibatkan seorang wanita berusia 59 tahun pada jam 10.30 pagi,” kata Dev dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah Dev, laporan polis berhubung kejadian ragut tersebut juga telah dibuat mangsa pada petang hari yang sama.

“Mangsa membuat laporan polis pada petang hari yang sama di Balai Polis Kota Sentosa dan langsung tidak ada menyebut mengenai cubaan merampas atau menculik kanak-kanak bersamanya ketika kejadian,” kata Dev.

Menurut Dev, pemilik akaun FB berkenaan dibebas selepas kenyataannya diambil dan diberi amaran oleh polis agar tidak mengulangi perkara tersebut.

“Kita juga memberi amaran tegas kepada netizen agar tidak memuat naik atau berkongsi berita palsu dan khabar angin tidak tepat serta mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah terhadap individu, institusi, bangsa dan agama.

“Jika laporan polis dibuat, maka kita akan membuka kertas siasatan seterusnya membuat tangkapan,” tegas Dev.