Tiada pusat pemindahan banjir diaktif di Sebauh

0
TENGGELAM: Keadaan kelas SK Kuala Binyo yang dilanda banjir.

TENGGELAM: Keadaan kelas SK Kuala Binyo yang dilanda banjir.

BINTULU: Tiada pusat pemindahan diaktif berikutan air banjir secara perlahan mula surut di daerah Sebauh namun lima sekolah rendah masih ditutup sementara menyebabkan 528 murid tidak dapat bersekolah untuk tiga hari hingga semalam termasuk dua rumah panjang pula dalam keadaan berjaga-jaga.

Sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Binyo, SK Kuala Sigu, SK Bukit Mawang, SK Sg Genaan dan SK Bukit Balai.

Pegawai Daerah Sebauh Desmond Douglas Jerukan berkata, lima sekolah masih ditutup berikutan laluan pejalan kaki termasuk bangunan kelas di kawasan sekolah itu ditenggelami air.

“Namun hari ini (semalam) air secara perlahan-lahan surut dan tiada pusat pemindahan diaktifkan.

“Sesetengah penduduk rumah panjang terletak di kawasan tanah rendah iaitu Rumah Palos 19 pintu di Sungai Binyo dan Rumah Seman 12 pintu dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya sambil menambah, pihaknya turut bersiap sedia membantu sekiranya laluan jalan raya ke rumah panjang terbabit ditenggelami air menyebab terputus hubungan.

Jelasnya, mereka turut menyediakan makanan dan keperluan harian lain untuk kecemasan.

Kata Desmond, oleh kerajaan keadaan terkawal justeru tidak ada keperluan untuk pemindahan penduduk tetapi semua agensi yang berkaitan dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan.

Penyelia Unit Hal Ehwal Pelajar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sebauh, Stanley Oliver Tinggie berkata, paras air banjir di SK Bukit Balai surut tetapi sekolah masih ditutup untuk kerja pembersihan.

Dalam pada itu, Pegawai PPD Tatau, Mohadi Mobin berkata, paras air banjir di SK Nanga Penyarai telah surut berbanding hari sebelumnya tetapi sekolah masih ditutup.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 5 Bintulu, Penguasa Bomba, Unjar Lum berkata, buat masa sekarang kerja-kerja pemantauan berterusan dilakukan oleh pihak kami (berkaitan situasi semasa banjir di Bintulu, Sebauh dan Tatau).

“Bilik gerakan antara agensi telah diaktifkan di daerah Sebauh namun setakat ini belum ada laporan berkaitan untuk kerja menyelamat,” katanya semalam.

Beliau berkata, untuk daerah Tatau, pihaknya membuat pemantauan sehingga ke Ulu Penyarai dan setakat ini masih terkawal.

“Untuk makluman juga, pelepasan air akan dilakukan di Empangan Hidroelektrik Bakun pada 27 Januari ini (menurut Sarawak Hidro) berikutan paras air takungan di empangan itu yang tinggi. Kami sentiasa mengambil perhatian akan perkara tersebut,” ujarnya.