Tiga jawatankuasa baharu MPS diharap mantap peranan majlis

0

KUCHING: Pengwujudan tiga jawatankuasa baharu di bawah Majlis Pembangunan Sosial diharap terus memantapkan peranan majlis itu berhubung isu sosial di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata ia melibatkan Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Perancangan dan Dasar dan Jawatankuasa Kajian dan Penilaian.

Menerusi jawatankuasa baharu itu, katanya segala pengurusan berkenaan isu sosial diyakini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Sebelum ini, MPS mempunyai satu jawatankuasa (Teknikal) sahaja, berbanding sebelum ini selepas berada di bawah KKWKK.

“Ia bagi memantap peranan dan fungsi majlis ini di Sarawak,” katanya ketika berucap pada penutupan Bengkel Pemantapan Ahli MPS di sebuah hotel terkemuka, semalam.

Menurut Fatimah, pembangunan negeri ini perlu diseimbangkan dengan menekankan faktor isu sosial di samping aspek fizikal dan ekonomi.

Katanya, tiga perkara itu amat penting bagi mengelak masalah sosial terus timbul dan mengakibatkan kesan negatif terhadap masyarakat.

“Pembangunan di negeri ini memerlukan keseimbangan, bukan sahaja memberi tumpuan pada aspek fizikal dan ekonomi, tetapi sosial.

“Wujudnya masalah sosial, disebabkan tiada keseimbangan pembangunan dalam negeri,” kata Fatimah.

Beliau menjelaskan aspek sosial turut memberi impak sama ada positif mahupun negatif kepada komuniti.

Tambah Fatimah sekiranya pembangunan dapat dilakukan secara holistik, maka masalah sosial diyakini tidak akan timbul.

Justeru, beliau berharap kerjasama antara agensi berkaitan dapat diteruskan dalam usaha mengatasi isu sosial seperti masalah dadah, keganasan terhadap keluarga, wanita dan kanak-kanak, gangguan seksual dan sebagainya.

Dalam pada itu, Fatimah turut menyampaikan watikah pelatikan kepada ahli-ahli baharu MPS di majlis penutupan tersebut.

Antara objektif yang digariskan sempena penganjuran bengkel tersebut ialah memantapkan pengurusan MPS agar selaras dengan hala tuju KKWKK.

Di samping itu membincangkan dan memberi cadangan dan imput dalam perancangan dan penyelarasan pembangunan sosial di Sarawak.