Trend jenayah di Kuching menjurus kepada kecurian motosikal, kenderaan

0
TAHNIAH: Abang Ahmad menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, semalam.

TAHNIAH: Abang Ahmad menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, semalam.

KUCHING: Trend jenayah di bandar raya ini lebih menjurus kepada kecurian motosikal dan kenderaan.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai, purata kehilangan motosikal adalah dua hingga empat, manakala kenderaan sekurang-kurangnya satu kes kecurian kenderaan direkodkan setiap hari.

“Daripada statistik, kita lihat kecurian motosikal memang tiap-tiap hari berlaku dan ini yang menyumbang kepada jenayah indeks kita,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini, semalam.

Abang Ahmad berkata, bagaimanapun polis turut mengesan satu kes di mana pengadu mendakwa motosikal dicuri walhal ia sebenarnya dicagar apabila kalah judi.

Beliau pada masa sama menyeru para pemilik motosikal serta kenderaan untuk meletakkan kunci pendua atau kunci tambahan bagi mengurangkan risiko dicuri.

Orang ramai turut diingat untuk berhati-hati jika berhadapan tawaran jual beli motosikal pada harga rendah, dikhuatiri barangan curi kerana jika didapati memiliki harta curi, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, IPD Kuching yang akan melancarkan Akta Peniaga Sekendhend 1946 pada 1 Februari ini turut menyeru para pemilik untuk mendaftar lebih awal.

Secara keseluruhan, katanya, jenayah indeks Daerah Kuching pada tahun lepas mencatatkan sebanyak 1,609 kes jika dibandingkan tempoh sama 2015 yang sebanyak 1,808 kes.

“Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 199 kes bersamaan 11.01 peratus,” katanya.

Berdasarkan pecahan kes pada 2016, sebanyak 216 kes adalah jenayah kekerasan, manakala 1,393 kes adalah jenayah harta benda dan polis menerima 1,286 laporan polis berhubung jenayah komersil, sementara kes jenayah narkotik merekodkan 1,299 kes membabitkan 1,544 tangkapan.

Menurut Abang Ahmad, jenayah narkotik di daerah ini adalah membimbangkan apabila tangkapan turut merangkumi para pelajar sekolah serta penganggur berusia bawah 20 tahun.

“Narkotik juga membimbangkan sekarang. Tangkapan lebih kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam pengambil dadah dan kita akan maklumkan (butiran lanjut) nanti,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau menambah, IPD Kuching juga berjaya mencapai kadar penyelesaian kes sebanyak 56 peratus, sekali gus melebihi sasaran Bukit Aman sebanyak 35 peratus.

Kejayaan itu adalah hasil kerjasama pelbagai bahagian seperti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Trafik, Narkotik, Jenayah Komersil katanya sambil menyeru warga IPD untuk terus berusaha gigih tahun ini.