Empangan Bakun berpotensi hasil 150 tan ikan
February 10, 2010, Wednesday
Pengeluaran sebanyak itu mampu menjana ekonomi masyarakat setempat, kata James Masing
KUCHING: Penternakan ikan air tawar secara komersial di Empangan Bakun berpotensi menghasilkan 150 tan ikan setiap hari sepanjang tahun, kata Menteri Pembangunan Tanah Dato Sri Dr James Masing.Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Wargana Consortium Sdn Bhd dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Holdings di sini, semalam beliau berkata, dengan pengeluaran berkenaan ia mampu menjana ekonomi kepada masyarakat, terutamanya penduduk sekitar kawasan terbabit.
Projek berkenaan dijalankan oleh Wargana Consortium Snd Bhd dengan bantuan teknikal yang disediakan oleh UPM Holdings dan sebuah pertubuhan Perancis iaitu CIRAD.
“Dengan penyertaan daripada kedua-dua badan berkenaan ia dijangka akan menyaksikan pelaburan asing yang signifikan untuk menjadikannya satu usaha niaga yang boleh berjaya yang akhirnya memberi manfaat kepada semua,” katanya.
CIRAD, kata beliau akan mengesahkan ikan-ikan dari Bakun dalam keadaan baik dan mereka juga akan memastikan ia berkualiti serta ladang ternakan ikan yang mesra alam dengan pengelibatan penduduk sekitar Bakun.
“Sementara Wargana akan memasarkan produk kepada komuniti luar negara selain berhubung dengan pakar untuk memberi nasihat kepada mereka dalam perkara berkenaan,” kata Masing.
Beliau turut memberitahu, untuk menjayakan projek sedemikian, industri di negeri ini memerlukan kepakaran daripada luar justeru dengan penyertaan organisasi luar seperti CIRAD ia diharap dapat menarik pelabur asing ke negeri ini.
Ia kerana kata beliau kini pelabur asing amat mementingkan semua aspek dalam industri yang ditubuhkan selain pengelibatan penduduk setempat.
“Kita memerlukan kepakaran asing kerana mereka lebih mengetahui permintaan dan kriteria daripada negara luar dan mereka akan memastikan produk daripada Bakun boleh diterima dan mesra alam.
“Kita amat mengalu-alukan penyertaan Duta Perancis dalam membantu kita dan pada masa yang sama juga kepada penduduk setempat (kawasan Bakun) bagaimana membangunkan industri terbabit,” ujarnya.
Tambahnya, permintaan terhadap ikan air tawar daripada negara luar seperti Amerika Syarikat kini kian meningkat setiap tahun dan dengan itu projek ini dijangka akan memberi perubahan dalam ekonomi kawasan terbabit.
Masing berkata, projek yang seterusnya dijangka akan dijalankan di Bakun selepas penternakan ikan air tawar adalah berasaskan pelancongan.
“Saya telah dimaklumkan CIRAD mempunyai golongan yang pakar dalam projek ini dan kita amat mengalu-alukan penyertaan dari negara luar kerana mereka mempunyai pengurusan yang sistematik dan sekali lagi pada masa yang sama turut melibatkan penduduk setempat,” kata beliau.
Terdahulu, dalam ucapannya, Masing berkata, kerajaan negeri telah meningkatkan usaha promosi di luar negara dan memperkenalkan skim serta insentif untuk menarik pengilang lebih ramai ke negeri ini dalam keadaan ekonomi yang meleset di Malaysia dan Sarawak.
“Kita merasakan MoA yang diadakan pada semalam adalah amat tepat pada masanya dalam membangunkan projek akuakultur komersial di Bakun yang berpotensi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri dalam usaha itu akan cuba membantu yang terbaik dari segi menyediakan kemudahan, sokongan dan memastikan projek terbabit memberi peluang kejayaan kepada semua.
Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri John Sikie Tayai, Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Mong Dagang, Ahli Parlimen Hulu Rajang merangkap Pengerusi Wargana Consortium Sdn Bhd Datuk Billy Abit Joo, Kaunselor Ekonomi Duta Perancis di Malaysia Dr Jean-Francious Bijon dan Pengurus Besar UPM Holdings Profesor Madya Dr Mohd Kamil Yusoff.


