Polis saran guna pengawal keselamatan bila keluar wang
February 10, 2010, Wednesday
MIRI: Polis di sini menasihatkan orang ramai yang mengeluarkan wang tunai dengan jumlah yang banyak di bank-bank tempatan supaya menggunakan khidmat syarikat pengawal keselamatan.Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim berkata, ia bertujuan untuk mengelakkan orang awam daripada menjadi mangsa penjenayah ragut atau rompak.
“Jika mereka mengeluarkan wang tunai dengan jumlah yang besar, maka mereka perlu ditemani oleh rakan atau saudara mara atau sekurangkurang pengawal keselamatan mencegah jenayah ragut,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Jamaluddin Ibrahim menjelaskan, saranan itu bukan sahaja diberikan kepada orang awam, sebaliknya kepada syarikat-syarikat besar yang sering mengeluarkan wang tunai untuk membayar gaji pekerja.
“Dalam pada itu, jika orang awam yang melihat seseorang yang menunggu lama di dalam bank tetapi tidak melakukan sebarang transaksi, maka mereka boleh menghubungi pihak polis untuk siasatan,” katanya.
Beliau seterusnya menjelaskan, sekiranya orang awam yang keluar dari bank dan mengesyaki mereka telah diekori oleh seseorang yang tidak dikenali, maka mereka perlu berada di kawasan ramai orang.
“Kadang kala terdapat kes di mana suspek sengaja memancitkan tayar mangsa mereka sebelum bertindak merampas beg tangan atau barangan berharga lain ketika mangsa sedang leka menukar tayar,” katanya.
Jamaluddin Ibrahim berkata demikian selepas mengulas kes rompakan berkumpulan melibatkan dua suspek warga asing di hadapan sebuah bank berhampiran Pusat Komersial Bouleverd, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, katanya, salah seorang suspek lelaki berkenaan bertindak memecahkan tingkap sebelah kiri pemandu dan merampas beg tangan milik isteri seorang peniaga sebelum melarikan diri dengan motosikal.
‘Kita masih memburu dua suspek lelaki berkenaan dan mereka dipercayai masih berada di sekitar Miri sementara usaha untuk mengesan kedua-dua warga asing itu diteruskan,” katanya.
Jamaluddin Ibrahim menambah, antara barangan yang dilarikan termasuk wang tunai RM57,500, mata wang China (RMB 1100.00), mata wang Iraq (Dinar 25,000), mata wang Singapura (SD170) dan sekeping syiling wang purba.
Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM100,000 sementara kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Sehubungan kejadian itu, katanya, pihak polis juga akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di bankbank tempatan terutamanya pada musim perayaan dan hujung bulan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.


